Wednesday, 10 August 2022

CARA TANAM JENIS TANAMAN KONTAN

 
Tanaman kontan adalah jenis tanaman singkat masa selain daripada sayur-sayuran dengan tujuan terutama untuk dijual. Tanaman kontan mengambil masa tidak lebih dari setahun penanaman, kebiasaannya antara tiga hingga enam bulan.

Antara contoh tanaman kontan adalah jagung manis, ubi kayu, ubi keledek, ubi keladi, ubi sengkuang, ubi badak, kacang tanah dan tebu kuning.

Tanaman Kontan ditanam melalui salah satu kaedah penanaman seperti berikut:
- Secara selingan dengan tanaman utama
- Sebagai tanaman campuran
- Secara bergilir dengan tanaman utama
- Sebagai integrasi tanaman
- Menjadi tanaman utama (tunggal) itu sendiri

Penanaman tanaman kontan ini dipilih untuk sesuatu ladang itu bergantung kepada permintaan pasaran yang baik dan boleh dijual serta dapat memberi pendapatan tambahan bagi petani. Kesesuaian tanah di sesuatu kawasan juga penting dalam pemilihan jenis tanaman kontan

Tanaman selingan dengan tanaman utama
Tanaman selingan adalah amalan perladangan yang menanam lebih daripada satu jenis tanaman dalam satu kawasan. Tanaman utama adalah tanaman yang dikategorikan sebagai tanaman kekal manakala tanaman kedua terdiri daripada jangka pendek. Ia bertujuan mendapatkan hasil yang maksimum dan seterusnya menambahkan pendapatan petani

Tanaman campuran
Tanaman campuran terdiri daripada pelbagai tanaman yang bersesuaian ditanam di dalam satu kawasan. Amalan penanaman secara campuran dapat memberikan faedah dalam mengawal makhluk perosak, membantu pertumbuhan tanaman, membantu pendebungaan dan membaik pulih tanah seterusnya dapat mengurangkan kos pengeluaran.

Bergilir dengan tanaman utama
Tanaman giliran merupakan penanaman dua jenis tanaman atau lebih yang ditanam secara bergilir selepas memungut hasil tanaman sebelumnya. Amalan penanaman secara giliran dapat mengoptimumkan penggunaan tanah dengan menanam sepanjang tahun. Di samping itu, dapat mengawal serangan perosak di mana jenis tanaman yang berbeza adalah bukan perumah kepada sesuatu perosak. Selain daripada itu, petani juga akan mendapat pendapatan yang berterusan sepanjang tahun.

Sebagai integrasi tanaman
Tanaman secara integrasi adalah sistem pertanian yang melibatkan aktiviti penanaman tanaman bersama aktiviti ekonomi lain seperti penternakan lembu dan kambing atau dengan menjalankan ternakan ikan secara akuakultur. Aktiviti ekonomi lain selain tanaman ini akan dapat meningkatkan pendapatan dan produktiviti petani selain dapat mengurangkan kos serta mengoptimumkan penggunaan tanah.

Menjadi tanaman utama (tungggal) itu sendiri
Tanaman utama (tunggal) ialah amalan perladangan menanam hanya satu jenis tanaman pada satu kawasan atau tanah, tanpa pusingan tanaman lain. Amalan penanaman secara utama (tunggal) dapat mendatangkan hasil yang tinggi kerana melaksanakan sistem pengurusan ladang yang efisien dengan menggunakan automasi sepenuhnya.

Sumber:
Unit Pembangunan Industri Tanaman Kontan
Seksyen Sayuran dan Tanaman Kontan
Bahagian Pembangunan Industri Tanaman
Jabatan Pertanian





No comments:

Post a Comment