Selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara
berfasa di bawah Kerajaan MADANI, Kerajaan telah bersetuju supaya kawalan harga
telur ayam ditamatkan dan kadar subsidi telur ayam dikurangkan dari RM0.10
kepada RM0.05 sebiji, berkuat kuasa mulai 1 Mei 2025. Seterusnya,
pemberian subsidi bagi telur ayam akan ditamatkan sepenuhnya pada 1 Ogos
2025.
Keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira komitmen
pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam yang cukup dan terjamin
berikutan kos pengeluaran yang telah stabil.
Sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, Kerajaan telah
membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk pembayaran subsidi telur ayam kepada
pihak industri bagi menampung peningkatan kos pengeluaran berikutan pandemik
COVID-19 serta kesan peperangan antara Ukraine dan Russia ke atas harga import
soya dan jagung bijian.
Kerajaan juga telah mengambil kira tempoh kawalan harga dan
pemberian subsidi yang terlalu lama ialah sesuatu yang tidak mampan kepada
kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara.
Selain itu, langkah penyasaran semula subsidi adalah lebih
adil memandangkan ketika ini, subsidi turut dinikmati oleh warga asing dan
golongan berpendapatan tinggi. Hasil penjimatan daripada peruntukan tersebut
kelak boleh digunakan untuk pembiayaan projek-projek tertentu untuk
kesejahteraan rakyat selaras dengan nilai-nilai MADANI.
Bagi meminimumkan impak ke atas kos sara hidup, Kementerian
Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan langkah-langkah intervensi
melalui perbincangan dengan pihak industri. Pihak industri telah bersetuju
untuk memperkenalkan telur gred khas pada harga yang munasabah.
Rakyat boleh mendapatkan bekalan telur pada harga yang lebih
kompetitif melalui inisiatif Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah di seluruh
negara termasuk di semua outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)
dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Manakala KPDN akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan
melalui pemantauan berterusan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan
2011 (AKHAP 2011) bagi membanteras sebarang aktiviti pencatutan atau manipulasi
harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.
Malaysia merupakan salah satu negara dengan jumlah penggunaan
telur tertinggi di dunia, kedudukan ke-13 di dunia. Secara harian, rakyat
Malaysia dianggarkan menggunakan sekitar 30 juta biji telur. Kalau 30 juta biji
sehari, bermakna subsidi yang diberikan kerajaan adalah RM3 juta sehari.
Sejak Febuari 2022 sehingga Disember 2024, kerajaan telah
membelanjakan sebanyak RM2.5 bilion untuk subsidi telur, satu angka yang
tinggi. Subsidi tersebut turut dinikmati bukan warganegara dan golongan
berpendapatan tinggi.
No comments:
Post a Comment