Musuh utama di Pahang bukan sekadar dadah dan penjenayah
tetapi pencerobohan tanah haram di negeri itu.
Demikian titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah
Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat
Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, pada Jumaat 18 April
2025.
Baginda menzahirkan rasa dukacita apabila sebanyak
14,494.908 hektar tanah kerajaan diceroboh dan diusahakan secara haram dengan
tanaman sawit, getah, durian dan pelbagai hasil bumi.
Lebih malang, 5,997.09 hektar hutan simpanan kekal (HSK)
juga telah diceroboh kononnya atas nama pertanian tetapi hakikatnya perompakan
terbuka terhadap harta negeri.
Masalah ini bukan baru bermula semalam, ia telah berakar
sejak lebih empat dekad yang lalu. Namun, bukan niat baginda untuk mengungkit
kisah lama atau menambahkan kekusutan.
Sebaliknya, adalah menjadi hasrat baginda untuk menoktahkan
kemelut pencerobohan tanah secara haram. Biarlah kisah lalu itu menjadi
pengajaran. Jika ada unsur rasuah, salah guna kuasa atau pengkhianatan terhadap
amanah, biarlah Allah SWT yang maha adil, menentukan dan menjatuhkan hukumnya.
Al-Sultan Abdullah bertitah, menjadi hasrat dan pendirian
bersama sebagaimana yang telah dipersetujui oleh kerajaan negeri untuk membuka
lembaran baharu dengan pendekatan yang lebih mampan, adil dan menyeluruh.
Titah baginda, pendekatan yang tidak sekadar menghukum
tetapi juga membina yang tidak hanya menamatkan pencerobohan tetapi memulihkan
semula maruah undang-undang serta menjana hasil kepada tanah negeri.
Baginda amat berbangga dan menzahirkan penghargaan atas
usaha kerajaan negeri bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang
mula mengambil tindakan tegas di lapangan termasuk membuat tangkapan, memotong
pokok-pokok yang ditanam secara haram dan juga menutup lombong yang dibuka
tanpa rasa malu dan takut.
Titah baginda lagi, seiring dengan keputusan kerajaan negeri
juga, beta ingin menegaskan bahawa tidak akan ada sebarang kelulusan baharu
oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi mana-mana permohonan tanah yang
telah diceroboh secara haram.
Al-Sultan Abdullah menegaskan perkara itu adalah prinsip
yang tidak boleh dikompromi demi menjunjung kedaulatan undang-undang serta
menjaga amanah kepada negeri dan rakyat.
“Tambahan pula keadaan hari ini sangat membimbangkan apabila
ada yang sengaja meniupkan api sentimen demi meraih simpati, seolah-olah
pencerobohan ini satu bentuk perjuangan.
“Beta ingin mengingatkan perjuangan yang bersandarkan
kezaliman terhadap tanah hak milik negeri tidak akan pernah sesekali mendapat
restu beta.
“Apa yang lebih mendukacitakan terdapat segelintir pihak,
termasuk individu yang seharusnya menjadi contoh dan pembela kepada
undang-undang, sebaliknya memilih untuk menyokong perbuatan tidak bertamadun,
cukup memalukan.
“Tindakan sedemikian bukan saja mencemarkan imej institusi,
bahkan boleh menjejaskan kedaulatan pentadbiran negeri,” titahnya.
Baginda turut mengingatkan supaya pemimpin politik tidak
terpengaruh dengan kepentingan politik sempit hingga mengetepikan hukum dan
perbuatan yang salah dimuliakan.
“Beta ingin menegaskan pentadbir tanah di semua peringkat,
wajib menjadi benteng hadapan, bukan boneka yang diperalatkan.
“Jangan sekali-kali berkompromi dalam hal yang membabitkan
kedaulatan undang-undang negeri. Jangan terpedaya dengan naratif, kononnya
pencerobohan itu atas nama kebajikan atau perjuangan rakyat.
“Undang-undang tidak boleh dipilih-pilih untuk dikecualikan
mengikut siapa yang bercakap paling lantang atau siapa yang berani menekan atau
yang paling banyak menghulur,” titah baginda.
Kredit sumber asal berita. .
No comments:
Post a Comment