Masjid Ubudiah juga dikenali Masjid
Iskandariah atau Masjid Diraja yang terletak berhampiran Istana Iskanariah, Bukit
Chandan, Kuala Kangsar dianggap sebagai masjid paling cantik di Malaysia.
Kecantikan
dan keunikannya terserlah sehingga setiap orang pasti kagum dengan ciri-ciri senibinanya.
Pembinaan Masjid Ubudiah dimulakan pada tahun
1913 adalah sebagai membayar nazar oleh Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I,
Sultan Perak ke-28 yang memerintah dari tahun 1887 hingga 1916.
Ketika mendapat rawatan di Port Dickson,
Negeri Sembilan, baginda ada bernazar untuk membina sebuah masjid di Bukit
Chandan sekiranya kesihatan baginda kembali pulih.
Masjid yang siap sepenuhnya pada tahun 1917 pernah
tergendala pembinaanya kerana simpanan batu marmar yang dibeli dari Itali rosak
dan pecah gara-gara dipijak oleh dua ekor kepunyaan Sultan Idris dan Raja
Chulan yang bergaduh.
Bekalan batu marmar baru dari Itali sukar diperoleh
kerana pada ketika itu berlaku Perang Dunia Pertama di Eropah yang turut melibatkan
negara Itali.
Masjid ini berbentuk oktagon atau segi lapan
dan mempunyai empat buah menara. Bahagian dinding dan lantai masjid diperbuat
daripada batu marmar berwarna merah dan putih yang dibawa khas dari Itali.
Masjid Ubudiah adalah simbol kesenian Melayu
Islam yang bertapak kukuh di Malaysia sejak sekian lama. Binaannya menjurus
kepada sumber inspirasi bagi pencinta seni bina tradisi Melayu.
Selain menjadi tempat solat dan aktiviti keagamaan,
Masjid Ubudiah menjadi destinasi pelancongan utama di Perak, khususnya di Kuala
Kangsar.
No comments:
Post a Comment