Monday, 20 January 2020

TUNAI JANJI AKHLAK MUKMIN

Setiap janji perlu ditunaikan. Namun, janji yang wajib ditunaikan hanya bagi maksud kebaikan. Janji melakukan keburukan haram diucapkan dan haram ditunaikan. Sesiapa berjanji melakukan perbuatan haram perlu mengubah niat dan segera bertaubat.

Sikap memegang janji perlu diutamakan bagi menjaga hubungan baik dengan pihak dijanjikan. Sesungguhnya apabila membuat janji, bermakna telah terbentuk satu tanggungjawab melaksanakannya. Tanggungjawab samalah dengan amanah, yakni perlu dilaksankan sedaya mungkin.

Rasulullah pernah menunjukkan contoh baik dalam usaha menunaikan janji. Kisahnya, Baginda berjanji menemui seorang sahabat di satu tempat atas urusan tertentu. Maka, tepat pada masa dijanjikan, Rasulullah telah pergi ke tempat itu.

Bagaimanapun, sahabat itu tidak datang tepat pada masanya seperti dijanjikan. Namun, Rasulullah terus menunggunya sehingga beberapa lama. Akhirnya, Baginda beredar meninggalkan tempat tanpa menemui sahabat yang ditunggu itu.

Pada keesokannya Baginda pergi sekali lagi ke tempat tersebut. Baginda berbuat demikian dengan anggapan mungkin sahabat itu terlupa pada hari semalam dan mungkin akan datang pada hari tersebut pula. Bagaimanapun, sahabat Rasulullah itu tetap juga tidak datang pada hari kedua itu.

Demi menunaikan janji, pada hari ketiga sekali lagi Rasulullah ke tempat tersebut. Namun, sahabat itu tidak juga datang pada hari ketiga. Pada hari keempat Rasulullah tidak lagi pergi menunggu sahabat di tempat yang dijanjikan.

Sikap Rasulullah itu membuktikan betapa pentingnya menunaikan janji, walaupun telah melepasi masa dijanjikan. Jika difikirkan tentulah tidak perlu lagi Rasulullah pergi ke tempat dijanjikan kerana telah melakukannya pada masa dijanjikan. 

Tujuan Rasulullah berbuat demikian untuk memberi peluang kepada sahabat menunaikan janjinya biarpun telah lepas dari masa sebenarnya.

Sebagai umat Islam, kita perlu mencontohi sikap Rasulullah itu. Menunaikan janji adalah akhlak orang mukmin.

Berjanji memang mudah mudah dilakukan. Dengan mengucapkan beberapa patah perkataan, tulisan atau pergerakan bahagian badan yang difahami, maka terbentuk dan terikatlah satu perjanjian. Janji hanya terbentuk jika pihak pertama menyebut kesediaan menunaikannya.

Sebaliknya, sifat tidak menepati janji menjadikan seseorang munafik.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tiga perkara sesiapa yang berada di dalam dirinya, maka dia munafik, walaupun dia berpuasa, sembahyang dan mengaku dirinya Muslim. Apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia memungkiri janjinya dan apabila dipercayai dia khianat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). 

Sifat munafik itu kekal dalam diri mereka yang tidak menunaikan janji, melainkan setelah dia benar-benar bertaubat dan bersungguh-sungguh tidak mahu mengulangi perbuatan tersebut.

Amat rugi sesiapa tergolong sebagai munafik. Balasan paling berat ditetapkan kepada golongan munafik. Justeru, berusahalah mengelak diri daripada melakukan dusta berkaitan janji. 

No comments:

Post a Comment