Thursday, 9 January 2020

HIKING GUNUNG RABONG GUA MUSANG


Gunung Rabong terletak di jajahan Gua Musang, Kelantan. Jumlah orang melakukan kembara berjalan kaki (hiking) mendaki Gunung Rabong yang berketinggian 1,538 meter dari aras laut itu dianggap masih kurang berbanding Gunung Stong, di Dabong, Kuala Krai.

Dinamakan Gunung Rabong kerana kelihatan dari jauh seakan rabung (bahasa baku) rumah atau puncak bumbung rumah.

Gunung ini mempunyai dua laluan atau trail, satu dari Felda Perasu dan satu lagi dari Kampung Air Manis. Pendaki biasanya memilih laluan Felda Perasu kerana dianggap lebih sesuai berbanding laluan Kampung Air Manis yang lebih mencabar.

Laluan mengikut Felda sungai Perasu bermula dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda yang mengambil masa kira-kira 30 minit hingga 45 minit melalui ladang kelapa sawit. Selepas itu laluan jalan hutan yang memerlukan melintas tiga batang sungai.

Permulaan hiking ialah di Kem Milo. Permulaan hiking melalui laluan balak lebih kurang sejam. Laluan santai, tetapi perlu berhati-hati dan pancaran matahari sampai di kepala kerana tiada naungan pokok.

Trek seterusnya semakin mencabar biarpun tidak lagi terkena bahan matahari. Mudah cakap, lutut bertemu dagu.

Pendakian ke puncak Gunung Rabong pada ketinggian 1.538 meter tidak dilakukan terus dalam satu hari. Pendaki perlu bermalam di Kem Taman sebelum meneruskan pendakian pada awal pagi keesokan harinya.

Di Kem Taman terdapat punca air yang boleh digunakan untuk memasak dan minum serta keperluan lain, termasuk jika ingin mandi.

Jika ingin menikmati pemandangan matahari terbit dan karpet awan, pendaki dinasihatkan meneruskan pendakian seawal pukul empat atau lima pagi. Masa pendakian dari Kem Taman sehingga ke puncak jika dalam keadaan gelap mengambil masa selama dua jam lebih.

Sebab itu, banyak pengembara yang mendaki selepas waktu Subuh yang masih gelap, tetapi hari semakin cerah.

Sebenarnya kawasan Gunung Rabong pernah diadakan program berskala 'besar' pada satu ketika dahulu. Sebab itu jangan terkejut jika tempat pendaratan helikaptor dibina berhampiran laluan pendakian.

Sepanjang laluan dari Kem Milo hingga ke Kem Taman, pendaki akan melalui beberapa 'tempat pemeriksaan' yang ditanda iaitu Lorong Tikus, Kaki Kor, kem Kor, Permatang, Kem Buluh dan 'helipad'.

Tanda-tanda itu ditulis di kepingan zink berwarna kuning. Menariknya pada setiap papan tanda itu tertulis 'jaga kebersihan'. Papan tanda itu disedikan oleh Kelab Sukan dan Kebajikan Perbadanan Kemajuan Iktisah Negeri Kelantan (KSK PKINK)

Tempoh masa hiking kira-kira lima hingga tujuh jam. Jadi, amat sukar jika ingin hiking terus ke puncak yang memerlukan sekurang-kurangnya satu jam lagi. Jika ingin terus turun memerlukan masa kira-kira lima jam lagi.

Ini bermakna jika ingin mendaki dan turun dalam sehari memerlukan masa kira-kira 12 jam atau paling cepat 10 jam. 

Tempoh masa itu memang boleh dilakukan jika pendakian bermula pukul enam pagi dan bersedia menempuh perjalanan malam ketika hampir sampai di Kem Milo semasa turun.

Pendakian maraton itu biasanya dilakukan oleh mereka yang sudah peringkat profesional atau lasak.

Persolannya, mengapa perlu tergesa-gesa naik dan turun? Alang-alang hiking biarlah sempat menikmati suasana alam semula jadi. 

Di kawasan Gunung Rabong kaya dengan keindahan flora dan fauna. Lebih-lebih lagi, pendakian santai lebih menghiburkan.

Gambar atas - Gunung Rabong dari  Felda Perasu

Pemandangan dari puncak Gunung Rabong

No comments:

Post a Comment