Monday, 15 May 2023

MENGADU HANYA KEPADA ALLAH

 
Nabi Yaakub diuji dengan satu ujian yang sangat berat. Ujian berpisah dengan anaknya Nabi Yusuf yang sangat dikasihi dan disayangi. Kisah tersebut diceritakan dalam al-Quran.
 
Berdasar ayat 13 surah Yusuf, dapat difahami bahawa Nabi Yaakub memang sudah rasa "kurang senang" hati apabila anak-anaknya merayu agar Nabi Yusuf diizinkn keluar dengan abang-abangnya atas alasan untuk bermain-main.
 
Bapa mereka menjawab: "Permergian kamu membawanya bersama sangatlah mendukacitakan daku, dan aku pula bimbang ia akan dimakan oleh serigala, ketika kamu lalai dari mengawalnya ". (Surah Yusuf, ayat 13)
 
Rasa curiga Nabi Yaakub menjadi kenyataan apabila abang-abang Nabi Yusuf yang telah berpakat untuk memisahkan Nabi Yaakub dan Nabi Yusuf dengan cara meletakkan Nabi Yusuf di dalam telaga yang jauh dari rumah mereka.
 
Nabi Yusuf yang tidak pulang bersama-sama abang-abangnya diberitahu kepada Nabi Yaakub bahawa Nabi Yusuf telah dibaham oleh serigala.
 
Nabi Yaakub yang berasa sedih dengan perkhabaran itu menyatakan bahawa perasaan itu diadukan kepada Allah SWT.
 
Firman Allah SWT bermaksud: “(Nabi Yaakub) menjawab: "Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah Yusuf, ayat 86)
 
Tiada siapa pun yang lebih utama untuk kita adukan rasa sedih dan dukacita melainkan kepada Allah SWT.
 
Seorang wanita bernama Khaulah binti Thalabah merasa sangat sedih apabila dia dizihar oleh suaminya Aus bin as Somit. Lalu dia mengadu kepada Allah dan membawa kes ini kepada Rasulullah SAW untuk diselesaikan.
 
Maka turunlah firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil ia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.” (Surah al-Mujadilah, ayat 1)

No comments:

Post a Comment