Perayaan Loy Krathong merupakan satu perayaan yang disambut
oleh masyarakat Siam beragama Buddha. Perayaan itu disambut semasa bulan
purnama pada bulan 12 kelendar Siam. Perayaan tersebut dikenali sebagai Loy
Krathong di mana Loy bererti mengapung dan Krathong bererti
bekas daun pisang berbentuk teratai.
Satu lagi perayaan disambut masyarakat Siam ialah Songkran.
Sambutan Songkran merujuk kepada tahun baharu.
Kedua-dua sambutan itu sebenarnya bukan perayaan keagamaan,
tetapi merupakan perayaan budaya dan adat masyarakat Siam yang telah diwarisi
sejak turun-temurun.
Oleh kerana kebanyakan aktiviti Songkran dan Loy Krathong
sering diadakan di kawasan wat, maka ramai masyarakat luar menganggap bahawa
perayaan ini adalah perayaan keagamaan. Sebenarnya, sesuatu perayaan itu tidak
automatik menjadi perayaan keagamaan hanya kerana ia diadakan di kawasan wat.
Perlu difahami bahawa wat dalam masyarakat Siam bukan sahaja
berfungsi sebagai tempat ibadat, tetapi juga sebagai pusat komuniti, pusat kebudayaan
dan tempat masyarakat berkumpul, bermesyuarat, menjalankan aktiviti kebudayaan
serta aktiviti kemasyarakatan.
Perayaan keagamaan umat Buddha hanyalah Magha Bucha, Visakha
Bucha dan Asalha Bucha.

No comments:
Post a Comment