Muhammad bin Ghani, tokoh veteran tentera.
Datuk Muhammad bin Abdul Ghani menyertai Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) pada tahun 1965.
Beliau ditempatkan di dalam Kor Armor Diraja yang ketika itu
dikenali Kor Peninjau Persekutuan.
Muhammad menyertai tentera selama 12 tahun sebelum menamatkan
perkhidmatan pada tahun 1977.
Muhammad menyertai bidang perniagaan selepas menamatkan
perkhidmatan tentera dan terkenal sebagai seorang peniaga yang berjaya, selain
pemimpin politik di peringkat bahagian dan negeri.
Muhammad menjalankan perniagaan kereta sewa, dan selepas itu
membuka sekolah memandu di Negeri Sembilan, sebelum melibatkan diri dalam
perniagan pembuatan biskut dan lain-lain.
Beliau pernah menyandang jawatan Presiden Persatuan Bekas
Tentera Malaysia Pusat (sebelum ditukar PVATM) selama beberapa penggal. Justeru
beliau amat dikenang sebagai tokoh pemimpin veteran tentera.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara (Senator)
bagi dua penggal (2001–2004 dan 2004–2007). Beliau juga pernah menyandang
jawatan Ketua Bahagian, UMNO Bahagian Kubang Kerian, Kelantan.
Beliau adalah Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera
Malaysia (PVATM) Kelantan sehingga ke akhir hayat.
Datuk Muhammad bin Abdul Ghani meninggal dunia pada usia 82
tahun di kediamannya di Pulau Hilir, Kubang Kerian, pada pukul 10.30 malam, 12
Mac 2026.
Pada malam kematian, beliau sempat menghadiri Program
Ukhuwah MADANI Ramadan anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat
Perdana Menteri dengan kerjasama PVATM Kelantan yang diadakan di Dewan Datuk
Mat Ghani yang terletak bersebelahan rumahnya di Pulau Hilir.
Dalam majlis tersebut, beliau sempat menyampaikan ucapan
kepada para hadirin sambil memaklumkan bahawa dirinya sudah berusia, kurang
sihat serta mengalami sakit dada.
Muhammad bagaimanapun memberitahu tetap menggagahkan diri
menghadiri program berkenaan kerana berasa sedikit lega sebelum berangkat ke
majlis tersebut.
Beliau juga sempat berbuka puasa bersama ahli-ahli PVATM
yang hadir sebelum pulang ke kediamannya.
Program tersebut turut dihadiri Ketua Pengarah Akademi
Kenegaraan Malaysia (AKM), Datuk Dr Roslan bin Hussin serta Presiden PVATM,
Kapten (B) Datuk Sharuddin Omar.
Jenazah beliau selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam
Kampung Pulau Hilir, Kubang Kerian.


No comments:
Post a Comment