Friday, 4 July 2025

ELAK DIRI DILIHAT SERBA TIDAK KENA

 
Kalau kita melihat orang lain serba tidak kena, maka kita juga akan dilihat serba tidak kena di mata orang lain.
 
Jadi, untuk mengurangkan pandangan orang serba tidak kena pada kita, maka jangan kita melihat dan menganggap orang lain serba tidak kena pada nilaian kita.
 
Jangan kita meremeh-remahkan orang lain, kerana lambat laun orang lain pula akan meremah kita.
 
Tutuplah aib orang lain, kerana Allah memberi balasan menutup aib kita pula. Kita bukannya tiada aib, tetapi ia tidak dilihat pada mata orang lain kerana Allah telah menutupnya.
 
Jadi, kalau Allah telah menutupnya, jangan pula kita sendiri membuka aib itu. Aib kita akan terbuka kalau kita suka membuka aib orang lain. Itu balasan di dunia kepada sesiapa suka membuka aib orang lain.
 
Ingatlah, dalam konteks agama Islam, menutup aib orang lain adalah perbuatan terpuji yang dianjurkan, dan diyakini akan dibalas oleh Allah dengan menutup aib individu tersebut di dunia dan akhirat. 
 
Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka (supaya kamu tidak membuat sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan atau keaiban orang lain dan janganlah sebahagian daripada kamu mengumpat sebahagian yang lain.” - (Surah al-Hujurat, ayat 12)
 
Justeru, seseorang yang beriman perlu menjauhkan prasangka dan mencari aib orang lain. Sesiapa yang melakukan, maka itu tanda kecacatan iman. Kita mencari keburukan orang lain, sedangkan hakikatnya kita yang mengalami kecacatan iman.
 

No comments:

Post a Comment