Termasuk dalam yang banyak dianggap
ritual dalam masyarakat kita ialah ibadat puasa. Dalam masyarakat mengamalkan
konsep ritual, sesiapa tidak ikut serta program yang diadakan sepanjang Ramadan
dipandang serong.
Maka atas semangat ritual, ramailah
yang memenuhi masjid dan surau menunaikan tarawaih. Disebabkan sembahyang
tarawaih telah diterima sebagai ritual, ada orang bersembahyang tarawaih,
tetapi tidak menunaikan sembahyang fardu lain. Mereka hanya menunaikan
sembahyang fardu Isyak yang dilakukan sebelum sembahyang tarawaih.
Masjid dan surau biasanya penuh
hanya pada awal bulan Ramadan. Sebaliknya hal itu semakin berkurangan apabila penghujung bulan Ramadan.
Pada ketika itu, masing-masing sibuk pula kepada sambutan Aidilfitri, yang
lebih jelas ritualnya.
Masih ramai tidak faham mengenai
tarawaih. Buktinya, ada yang mengatakan tarawih itu mesti dilakukan di masjid
secara jemaah. Sebabnya, sejak dari
kecil sehinggalah dewasa, kita hanya melihat orang bertarawih di masjid. Maka,
jika ada orang bertarawaih di rumah bersama ahli keluarga, dituduh pula
melanggar kebiasaan.
Sebenarnya sembahyang tarawaih boleh
dilakukan berseorangan dan berjamaah di mana-mana sahaja. Masa tarawaih bukan
juga mesti ditunaikan sebaik selesai sembahyang Isyak. Masa untuk sembahyang
boleh dilakukan sehingga sebelum masuk waktu subuh.
Masyarakat masih tidak dapat
membezakan antara hukum dan kebiasaan. Mana yang wajib dan mana yang sunat. Justeru,
amat penting guru agama dan pak imam memberi penjelasan mengenai perkara ini. Kaedah
hanya menyuruh dan tidak mendidik adalah antara punca berlaku amalan ribual
dalam ibadat.
Sebenarnya konsep puasa ritual ini
disebabkan kejahilan ilmu agama dan tahap keimanan. Ramai beranggapan sudah
memadai jika berpuasa sekadar menahan diri daripada melakukan perbuatan
membatalkan puasa.
Orang jahil melakukan puasa sekadar
mengikut apa yang orang kebanyakan lakukan. Orang lain berpuasa, dia juga
berpuasa. Memang tidak sukar melakukan
puasa sebab ia telah dilakukan sejak ketika sekolah rendah lagi. Apabila telah
dewasa, ibadat puasa sudah menjadi kebiasaan. Hal yang sama diturunkan kepada
anak dan begitulah dari satu generasi ke satu generasi.
Kesempurnaan melakukan sesuatu
ibadat tidak hanya apabila cukup syarat sah dan batal. Sebaliknya nilai ibadat
bergantung kepada kefahaman, keimanan dan ketakwaan orang yang melakukannya.
Orang yang berpuasa bukan diasaskan
rasa keikhlasan dan ketakwaan tidak merasai nikmat sebenar puasa. Ketika orang
beriman merasai kemanisan berpuasa, orang yang tidak ikhlas melakukannya dalam
keadaan menderita menahan lapar dan dahaga.
No comments:
Post a Comment