Sunday, 15 December 2024

JANGAN AMBIL HAK KAWAN

 
Dalam setiap persahabatan memerlukan keikhlasan, berkata benar dan sentiasa menjaga hubungan agar berkekalan. Kalau ada masalah dalam hubungan, ia segera diatasi dengan sikap bertolak ansur dan saling menghormati. Jangan sekali-kali mengambil kesempatan di atas kekurangan sahabat. Jangan ambil hak kawan tanpa izinnya.
 
Tidak dinafikan dalam persabahabat memang ada cabarannya. Air di dalam cawan pun berkocak dan boleh menjadi ribut sehingga tumpah. Namun, jika ikhlas berkawan, segala masalah itu dapat diatasi dengan semangat persahabatan sejati. Sebaliknya, jika persahabatan itu memang diasaskan di atas niat mengambil kesempatan di atas kelemahan sahabat, maka ia akan dengan mudah runtuh dan berkecai.
 
Amalan itu dinamakan siikap bermuka-muka ialah di hadapan kata lain, di belakang pula kata yang sebaliknya. Apa yang ditunjukkan ketika berada bersama hanya kepura-puraan.
 
Sikap berpura-pura dan bermuka-muka boleh menyebabkan seseorang sahabat menikam belakang sehabatnya secara dayus. Dia tidak berani menyatakan di hadapan, tetapi mengambil kesempatan ketika sahabatnya tidak melihat.
 
Dalam Islam sikap bermuka-muka amat buruk. Sabda Rasulullah SAW bermuksud: “Kalian mendapati bahawa orang yang paling buruk di antara manusia adalah orang yang bermuka dua, datang kepada satu golongan dengan satu muka dan pada golongan yang lain dengan muka yang lain.” (Hadis riwayat Ahmad No: 7039).
 
Jauhi sikap bermuka-muka dan suka tikam belakang kawan. Jujurlah dalam persahabatan agar melaluinya banyak kebaikan yang dapat dicapai untuk kepentingan bersama.
 
Apa guna pinggan dan cawan,
Kalau tidak di atas talam,
Apa guna hidup berkawan,
Kalau saling tikam menikam.

No comments:

Post a Comment