Friday 8 March 2024

MANFAAT POKOK KERCUT

 
Pokok kercut adalah sejenis tumbuhan akuatik yang banyak tumbuh di kawasan berpaya dan sawah terbiar. Pokok tersebut dianggap rumpai yang tidak berguna dan mengganggu tumbuhan serta menghalang aliran air.

Namun begitu, pokok kercut yang dikategorikan sebagai rumput ini mempunyai nilai komersial boleh dijadikan bahan asas untuk menghasilkan kraf tangan anyaman seperti tikar, bakul, bag, alas meja, hiasan dinding dan sebagainya.

Malah, pokok yang turut dikenali dengan nama kumbah, mansiang agam, mansiro hitam, rumput kerecut, rumput kumbar atau purun turut dikaji untuk dijadikan penyedut minuman bagi menggantikan penyedut plastik.

Penyedut air batang kercut selamat digunakan dan mesra alam kerana mengambil masa antara satu hingga dua minggu untuk terurai secara semula jadi seperti yang berlaku pada tumbuhan rumpai. Pokok kercut berbentuk bulat dan panjang. Jadi ia memang sesuai dijadikan penyedut minuman.

Dalam perubatan tradisional, pokok kercut digunakan bagi mengubati berapa penyakit seperti kencing manis.

Pada masa dahulu, pokok kercut memang dianggap pokok bermanfaat kerana sering digunakan sebagai bahan asas membuat tikar. Ia sesuai dengan kegunaan tikar yang menjadi keperluan di setiap rumah untuk dijadikan tempat duduk, termasuk ketika menjamu selera.

Tikar kercut menjadi pilihan kerana ia tahan lama dan lebih lembut berbanding tikar mengkuang. Batang kercut yang diproses secara betul tidak mudah patah dan terputus. Sebab itu, kercut turut digunakan untuk menghasilkan guni dan bakul.

Tikar anyaman kercut tahan lasak dan tahan lama. Kena air pun tidak ada masalah, boleh dijemur supaya kering dan boleh digunakan seperti biasa.

Kercut tumbuh tegak membentuk rumput padat yang kecil. Ciri batangnya yang tegap, keras dan liat dengan ketinggian mencapai sehingga melebihi satu meter sesuai untuk dijadikan bahan anyaman. 

Batang kercut yang telah dipotong perlu melalui proses sebelum ia dapat dianyam menjadi produk pilihan. Proses itu perlu dilakukan bagi memastikan ia sesuai dianyam dan tahan lama.

Untuk memastikan ketahanan dan tempoh hayat, batang kercut perlu diawet dengan menggunakan lumpur, kemudian dijemur sehingga kering. Penggunaan lumpur bertujuan menghilangkan warna asal hijau. Proses menjemur mengambil masa dua hingga tiga hari mengikut cuaca.

Selanjutnya, batang kercut yang telah kering itu akan diketuk, ditumbuk atau dipukul sehingga menjadi nipis. Biasanya kayu tembesu digunakan untuk menumbuk helaian pokok kercut kerana ia lebih keras dan tahan lama.

Proses akhir sebelum boleh dianyam ialah mencelup atau proses mewarnakan dilakukan dengan warna pilihan. Sebelum dianyam, helaian pokok itu sekali lagi ditumbuk supaya lebih nipis bagi memudahkan proses anyaman selain kukuh. Proses ayaman akan mengambil masa mengikut kemahiran individu tersendiri.

Seni warisan kraf tangan kercut masih diusahakan di kalangan penduduk di beberapa buah kampung, termasuk di di Kampung Kubang Keladi, Jelawat, Bachok, Kelantan. Di Kampung Beting Lintang, Setiu, Terangganu terdapat bengkel anyaman kercut yang turut mengadakan mengadakan demostrasi bermula dari memotong pokok sehinggalah mengayam.

Hasil aktiviti di kedua-dua kampung tersebut meningkatkan populariti anyaman kerecut. Semakin banyak pihak berkaitan dengan kraf tangan, pelancongan dan penyelidik tertumpu di kampung berkenaan.

Hasil promosi tersebut, kraf tangan kercu bukan sahaja semakin dikenali, bahkan permintaan terhadapnya juga meningkat. Ia secara tidak langsung menghidupkan kembali kemahiran anyaman kercut dan memberi keuntungan kepada yang terlibat di dalam industri berkenaan.