Saturday 21 October 2023

BUKIT JAWA, SELISING TEMPAT TINGGAL PUTERI SAADONG

Berdekatan dengan pekan Selising terdapat sebuah bukit kecil yang bernama Bukit Jawa. Bukit Jawa berada di sebelah kiri Jalan Kota Bharu – Pasir Puteri berhampiran dengan Stesen JPJ Selising. Sesiapa yang memandu dari arah Kota Bharu akan melalui Bukit Jawa sebelaum sampai di pekan selising. 

Bukit Jawa adalah bukit tunggal. Di sekeliling kawasan bukit adalah tanah rendah yang menjadi penempatan, sawah dan kebun.
 
Nama “Bukit Jawa” bukan sahaja nama kepada Bukit Jawa, tetapi juga nama kampung berdekatan dengan bukit tersebut. Justeru, terdapat beberapa nama yang turut menggunakan “Bukit Jawa” seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa, Sekolah Kebangsaan Bukit Jawa dan Sekolah Kebangsaan Bukit Jawa 2.
 
Ketinggian Bukit Jawa sekitar 250 meter (anggaran berdasarkan kepada pemerhatian) dari paras laut. Namun, ia mudah mendapat perhatian kerana fizikalnya sebuah bukit tunggal.
 
Bukit Jawa dikaitkan dengan sejarah legenda Puteri Saadong. Puteri Saadong diceritakan pernah menjadikan Bukit Jawa sebagai tempat penginapannya.
 
Di atas Bukit Jawa terdapat sebuah gua yang dikatakan menjadi tempat tinggal Puteri Saadong. Di dalam gua itu terdapat satu batu hampar yang seakan rata, menjadi tempat tidur Puteri Saadong. Di kalangan penduduk setempat, gua tersebut dikenali Gua Puteri.
 
Pada masa dahulu, di dalam Gua Puteri dikatakan terdapat pinggang mangkuk yang disimpan oleh penjaga Puteri Saadong. Apabila mahu mengadakan kenduri, orang kampung akan pergi ke gua ini untuk meminjam pinggang mangkuk dari Puteri Saadong. Tetapi, apabila orang kampung tidak kembalikan apa yang dipinjam, Puteri Saadong kecewa dengan perangai orang kampung dan terus tinggalkan gua ini.
 
Kini, gua ini dipenuhi dengan najis kelawar dan amat licin dan berbahaya. Bau amonia dari najis kelawar ini amat tidak menyenangkan dan gua ini gelap gelita.
 
Bukti Jawa masih belum terkenal sebagai destinasi atau lokasi kembara berjalan kaki (hiking). Pun begitu, sudah ada pihak yang menjadikan ia lokasi aktiviti berkenaan. Diharapkan pada masa hadapan, Bukit Jawa menjadi lokasi terkenal untuk aktiviti hiking atau riadah. 

Legenda Puteri Saadong 
 

No comments:

Post a Comment