Ada individu tidak tahu malu. Manusia yang hilang rasa malu, akan berbuat
semahunya apa yang diingini tanpa mempedulikan adanya aturan dan kesopanan yang
ada dalam masyarakat. Maka berlakulah gejala bohsia, lari dari rumah,
bersekedudukan, terbabit penagihan dadah dan perzinaan.
Perbuatan yang semakin menular dalam
masyarakat itu berjaya mempengaruhi orang lain sehingga menjadi satu perbuatan
lumrah atau biasa terjadi. Kejadian itu menyebabkan pelakunya tidak lagi merasa
malu dan menganggapnya perkara biasa. Jika tidak dibendung akan menyebabkan
moral masyarakat berada di tahap paling rendah.
Tidak dinafikan perbuatan ini berlaku
disebabkan kurang didikan agama yang menyebabkan mudah terpengaruh dengan
hasutan syaitan dan menganggap perkara itu sesuatu yang mengasyikkan. Mereka berasa
adalah rugi jika tidak melakukan perbuatan itu.
Terdapat juga individu tidak malu melakukan
perbuatan jahat disebabkan tidak memahami bahawa perbuatan itu menyalahi
syariat. Individu berkenaan dipanggil jahil dalam agama dan perlu dibimbing
agar tidak mengulangi kesalahan yang telah dilakukan itu.
Biasanya golongan muda mudah terpengaruh
dengan perbuatan dosa atas alasan hidup alam muda untuk bersuka-ria dan
menikmatinya sebelum usia tua. Mereka mendakwa akan bertaubat dan melakukan
kebaikan apabila usia tua.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Apabila
seseorang menyertakan keghairahan atau tarikan berahi kepada setiap perkara
yang dilakukan, ia akan menjadi keburukan, dan apabila malu disertakan dalam
setiap perbuatan ia akan menjadi indah.” (Hadis riwayat Tirmizi).
Dewasa ini terlalu banyak orang semakin
‘tidak malu’ melakukan perkara bertentangan dengan tuntutan agama. Perbuatan
yang dilakukan tidak melambangkan kematangan fikiran dan kedudukan yang
sepatutnya dijaga.
Amat malang apabila pemimpin politik, pegawai tinggi kerajaan dan orang ternama terjebak melakukan perbuatan tidak bermoral seperti berzina, rasuah dan salah guna kuasa.
Gambar sekadar hiasan

No comments:
Post a Comment