Wednesday 21 July 2021

SEJARAH KEPERWIRAAN ANAK MELAYU

Permatang Pasir Panjang di Singapura masih lagi seperti dulu - sunyi dan suram. Adakalanya suasana sekitarnya kelihatan menyeramkan memandangkan ramai tentera pernah terkorban tanpa nisan di kawasan itu suatu waktu dahulu.

Permatang yang memanjang sejauh lebih lima kilometer ini pernah menjadi medan pertempuran antara Rejimen Askar Melayu dan Tentera Jepun. Malah Bukit Chandu yang terletak di atas permatang ini turut menjadi saksi keperwiraan anak-anak Melayu mempertahankan tanah air mereka.

Di sinilah Allahyarham Leftenan Adnan Saidi yang ketika itu berusia 27 tahun serta 42 anggota Platun 7, Kompeni C, Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu berjuang hingga ke titisan darah terakhir mempertahankan ibu pertiwi dengan penuh keberanian.

Mengikut catatan sejarah, pertempuran antara Rejimen Askar Melayu dengan Tentera Jepun bermula sebaik sahaja musuh mendarat di Tanjung Penjuru, Jurong pada 8 Februari 1942.

Pada masa itu Batalion Pertama dan Kedua dikerah mengekang kemaraan musuh di situ.

Bagaimanapun, mereka terpaksa berundur ke Pasir Laba dan akhirnya ke Pasir Panjang berikutan serangan hebat Tentera Jepun.

Pertempuran sengit antara kedua belah pihak hanya bermula pada 13 Februari apabila Askar Melayu mengukuhkan pertahanan mereka di benteng tersebut.

Untuk memudahkan mereka menawan kawasan tersebut, Jepun memulakan serangan dengan tembakan artileri diikuti penggempuran oleh unit infantrinya.

Akibat asakan tersebut, Askar Melayu terpaksa berundur sekali lagi untuk mencari tempat pertahanan baharu yang lebih selamat. Kompeni C diarahkan berundur ke pertahanan sebelah timur Pasir Panjang yang dikenali sebagai Bukit Chandu.

Pelbagai peristiwa berdarah telah berlaku di Bukit Chandu ketika Lt Adnan memimpin pasukannya dalam mempertahankan kawasan tersebut.

Semangat juang yang tinggi Lt Adnan bersama pasukannya telah mengundang kemarahan Tentera Jepun yang tidak henti melaksanakan serangan di Bukit Chandu meskipun beberapa anggotanya telah gugur dan cedera termasuk diri beliau sendiri ketika dalam usaha untuk mempertahankan benteng pertahanan mereka.

Di akhir pertempuran, Jepun berjaya mengepung dan terus menyerbu dengan benet terhunus di hujung senjata ke kubu Askar Melayu.

Lt Adnan yang ketika itu telah cedera parah bagaimanapun tewas dalam pertarungan tersebut. Kematian Lt Adnan dan anggotanya itu bermakna Singapura telah berjaya ditakluk sepenuhnya oleh Jepun kerana Bukit Chandu adalah pertahanan terakhir British.

Keperwiraan Askar Melayu yang dipimpin oleh anak kelahiran Kajang ini begitu menyerlah sehingga memaksa Tentera Jepun perlu bertempur selama dua hari sedangkan di kawasan lain mereka dengan mudah menewaskan puluhan ribu tentera Britain, Australia dan India yang mempertahankan Singapura.

Biarpun platun Lt Adnan tewas dalam pertempuran tersebut, namun ia telah meninggalkan kesan yang amat mendalam iaitu mereka telah menjadi lambang kesetiaan perajurit tanah air terhadap Negaranya.

Kini, sebahagian daripada kisah keberanian Askar Melayu tersebut bersemadi di sebuah banglo yang digelar “Reflection at Bukit Chandu” sebuah galeri dan pusat penerangan Perang Dunia Kedua yang terletak di atas Bukit Chandu.

𝗦𝘂𝗺𝗯𝗲𝗿 𝗔𝗱𝗮𝗽𝘁𝗮𝘀𝗶:
Buku 'Demi Negara' terbitan Transformasi Kreatif, Tahun 2014

 

No comments:

Post a Comment