Thursday 7 March 2024

PROMOSI KRAF TANGAN ANYAMAN KERCUT

 
Tidak banyak rakyat Malaysia kenal atau mengetahui tentang anyaman kraf tangan kercut, biarpun dahulu ia amat terkenal. Kalau ada yang pernah melihatnya, mungkin menyangka itu adalah anyaman mengkuang kerana ada ciri-ciri persamaan antara kedua-duanya.
 
Kercut tumbuh tegak membentuk rumput padat yang kecil. Ciri batangnya yang tegap, keras dan liat dengan ketinggian mencapai sehingga melebihi satu meter sesuai untuk dijadikan bahan anyaman. Tumbuhan ini mudah tumbuh di kawasan paya, sungai alur dan kawasan yang ditenggelami air.
 
Batang kercut yang telah diproses dianyam untuk dijadikan tikar, bakul serba guna, alas pinggan dan karung padi. Permintaan terhadap produk anyaman kercut semakin mendapat permintaan dan perhatian dari orang ramai akan ketahanan dan seni anyaman yang cantik.
 
Tikar anyaman kercut tahan lasak dan tahan lama. Kena air pun tidak ada masalah, boleh dijemur supaya kering dan boleh digunakan seperti biasa.
 
Penghasilan produk daripada rumput kercut memerlukan tenaga yang banyak dimulai dengan mencabut rumput kercut, mengawetkan dengan lumpur, menjemur dan mengetuk kercut sehingga nipis. Proses ayaman akan mengambil masa mengikut kemahiran individu tersendiri.
 
Penghasilan kercut memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi bagi menghasilkan produk yang terbaik.
 
Proses membuat tikar bermula selepas pokok kercut yang sudah dipotong diikat ketat dan digulingkan dalam tanah liat bagi membuang warna hijau aslinya sebelum dijemur.
 
Menjemur pokok kercut mengambil masa antara dua hingga tiga hari bagi membolehkan ia kering dengan elok.
 
Pokok yang memanjang seakan-akan lalang itu kemudiannya ditumbuk bagi meleperkan seratnya sebelum diwarnakan menggunakan pewarna khas. biasanya kayu tembesu digunakan untuk menumbuk helaian pokok kercut kerana ia lebih keras dan tahan lama.
 
Sebelum dianyam, helaian pokok itu sekali lagi ditumbuk supaya lebih nipis bagi memudahkan proses anyaman selain kukuh.
 
Seni warisan kraf tangan kercut masih diusahakan di kalangan penduduk di beberapa buah kampung, termasuk di Jelawat, Bachok, Kelantan. 
 
Bagi memastikan lebih banyak orang mengetahui tentang produk kraf tangan kercut, promosi mengenainya perlu dibuat secara lebih meluas. Inilah yang diusahakan oleh Pengerusi Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan (PCAK), Fazliyaton Daud.
 
Melalui usaha promosi yang dijalankan, industri kraf tangan kercut di Kampung Kubang Keladi, Jelawat kembali mendapat perhatian. Semakin banyak pihak berkaitan dengan kraf tangan, pelancongan dan penyelidik tertumpu di kampung berkenaan.
 
Hasil promosi tersebut, kraf tangan kercu bukan sahaja semakin dikenali, bahkan permintaan terhadapnya juga meningkat. Ia secara tidak langsung menghidupkan kembali kemahiran anyaman kercut dan memberi keuntungan kepada yang terlibat.
 
Jika dahulu ia semakin dilupakan, kini sudah ada yang berminat untuk mempelajari proses menyediakan bahan dan menganyam kraf tangan kercut.
 
Berkat kesungguhan Fazliyaton membuat promosi kraf tangan anyaman kercut, produk dari Kampung Kubang Keladi kini telah dipasarkan di beberapa pameran hasik kraf tangan di luar Kelantan. Ini termasuklah ketika Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2024 dari 21 Febuari hingga 4 Mac 2024 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.
 
Sempena HKK, Fazliyaton dan pengusaha kraf tangan kercut dijemput untuk siaran langsung Program Selamat Pagi Malaysia, yang tentunya lebih memberi maklumat kepada seluruh rakyat Malaysia.
 
Penyertaan di HKK juga telah membawa kraf tangan anyaman kercut terbang ke beberapa negara, termasuk Jepun apabila ada pengunjung dari luar negara telah membelinya. Rata-rata pelancong luar negara kagum dan menghargai hasil seni anyaman kercut.
 
Jika warga asing menghargai hasil kraf tangan anyaman kercut, mengapa kita warganegara Malaysia memandang sepi mengenainya.







No comments:

Post a Comment