Duta produk biasanya mendapat bayaran lumayan.
Berlainan dengan duta kercut Kampung Kubang Keladi. Dia tidak menerima bayaran,
bahkan kena keluar sendiri wang untuk tujuan promosi.
Itulah pengorbanan Fazliyaton Daud membuat
promosi produk kraf tangan anyaman kercut Kampung Kubang Keladi agar produk
tersebut dikenali dan banyak orang membelinya.
Fazliyaton yang juga pengerusi Pertubuhan
Cakna Asnaf Kelantan (PCAK) melakukan tugas sukarela mempromosikan produk kraf tangan
anyaman kercut bagi membantu pengusaha atau pembuat anyaman mendapat pendapatan
tambahan.
Produk kraf tangan anyaman kercut memang
cantik dan mempamerkan ciri-ciri warisan bangsa, namun tidak banyak Malaysia mengetahui
mengenainya. Justeru itu, Fazliyaton bersungguh-sungguh menggerakkan aktiviti
promosi melalui media sosial, kerjasama dengan agensi kerajaan, pusat
pendidikan, syarikat swsta dan orang perseorangan.
Hasil usaha gigih itu, produk dari Kampung
Kubang Keladi kini telah dipasarkan di beberapa pameran hasil kraf tangan di luar
Kelantan.
Hasil penyertaan di pelbagai pameran dan jualan kraf tangan, anyaman kercut terbang ke beberapa negara, termasuk Jepun apabila ada
pengunjung dari luar negara telah membelinya. Rata-rata pelancong luar negara
kagum dan menghargai hasil seni anyaman kercut.
Jika warga asing menghargai hasil kraf
tangan anyaman kercut, mengapa kita warganegara Malaysia memandang sepi
mengenainya.
Melalui usaha promosi yang dijalankan,
industri kraf tangan kercut di Kampung Kubang Keladi, Jelawat kembali mendapat
perhatian. Semakin banyak pihak berkaitan dengan kraf tangan, pelancongan dan
penyelidik tertumpu di kampung berkenaan.
Hasil promosi tersebut, kraf tangan kercut
bukan sahaja semakin dikenali, bahkan permintaan terhadapnya juga meningkat. Ia
secara tidak langsung menghidupkan kembali kemahiran anyaman kercut dan memberi
keuntungan kepada yang terlibat.
Mengakui bukan mudah untuk mempromosikan
hasil tangan warisan itu, dia tetap akan berusaha mengangkat kraf tangan
anyaman kercut bukan sahaja mendapat sambutan rakyat Malaysia, bahkan di luar
negara.
Sekarang ini usaha promosi melalui media
sosial digiatkan untuk mendapat pelanggang seluruh dunia.
Sesungguhnya, apa yang Fazliyaton lakukan bukan
untuk keuntungan peribadi. Dia ingin membantu pengusaha dan penghasil kraf
tangan agar mampu mendapat pendapatan hasil kemahiran yang dimiliki, selain
menggunakan sumber alam semula jadi yang di sekitar tempat tinggal.
Untuk maklumat lanjut atau berminat dengan
produk kraf tangan anyaman kercut boleh hubungi Fazliyaton Daud di talian
011-1941-3639.
No comments:
Post a Comment