Kata orang, hidup ini keras dan kita perlu
berusaha dengan gigih dan sehabis baik untuk menikmati sebuah kehidupan yang
diidamkan selama ini. Bahagia itu sendiri sebenarnya subjektif, apa yang kita
rasa tidak sama dengan apa yang dikecapi oleh orang lain.
Mungkin bagi kita, jika mempunyai wang
jutaan ringgit itu tanda bahagia. Bagi insan lain pula berbeza, ada yang berasa
cukup bahagia jika keperluan peribadi dan untuk keluarga dapat dipenuhi, mereka
rasa cukup dan tidak perlu mengomel lagi. Apa yang penting, kita terus berjuang
untuk melakukan perkara yang lebih baik bukan untuk diri sendiri sahaja, bahkan
memberi kesan kebaikan untuk orang lain juga.
Inilah yang diperjuangkan oleh Fazliaton
Daud, insan berhati mulia dalam usaha mencari dan mencipta kebaikan untuk insan
lain. Dia berjuang keras sehingga sebahagian besar masa dan tenaganya
dicurahkan kepada kerja-kerja kesukarelawan dan kebajikan.
Pengerusi kepada Pertubuhan Cakna Asnaf
Kelantan (PCAK) ini berusaha macam-macam cara yang difikirkan dapat membantu
insan memerlukan bantuan. Selain menggunakan wang sendiri dan mengharapkan
sumbangan orang ramai untuk turut menyumbang membantu asnaf, dia turut melakukan
beberapa aktiviti lain yang memberi keuntungan.
Antara aktiviti yang dilakukan ialah
memajukan industri kraf tangan kercut. Penglibatanya dalam aktiviti membuat
(anyaman) dan pemasaran kercut memberi beberapa kesan positif.
Pertamanya, kebaikan diperoleh secara langsung
oleh mereka yang terlibat mengayam kercut menjadi kraf tangan. Aktiviti yang
dahulunya semakin suram kini kembali hidup apabila maklumat mengenai anyaman kraf
tangan kercut semakin dikenali.
Dahulu anyaman kercu seakan-akan mati
tetapi kini hidup kembali. Permintaan terhadap kraf tangan anyaman kercut kini
meningkat. Kesan daripada itu, mereka yang terlibat menghasilkan kraf tangan
kercut mendapat pendapatan lebih baik berbanding sebelumnya.
Permintaan kraf tangan kercut yang semakin
meningkat memberi keuntungan bukan sahaja kepada pembuatnya, tetapi juga
sesiapa yang memasarkannya. Di sinilah PCAK memainkan peranan. PCAK terlibat
secara langsung dalam memasarkan hasil kraf tangan kercut yang mana
keuntungannya dapat disebarkan atau diagihkan kepada mereka yang memerlukan.
Ternyata, usaha murni Fazliaton memajukan
aktiviti penghasilan kraf tangan adalah serampang banyak mata, iaitu membantu
pengusaha dan pembuat kraf tangan kercut dan menghasilkan pendapatan untuk
PCAK.
Buktinya, hasil jualan kraf tangan kercut ketika
Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2024 dari 21 Febuari hingga 4 Mac 2024 di Kompleks
Kraf Kuala Lumpur dapat membantu seorang pelajar miskin dari Tok Bali, Pasir Puteh mendaftarkan diri di
sebuah institut pengajian tinggi.
No comments:
Post a Comment