Sunday 25 July 2021

MENGAPA TAKUT SANGAT BOKBONG

Masa dahulu, budak-budak sering ditakutkan agar tidak melakukan sesuatu kalau tidak mahu dimakan oleh bokbong. Biar kena ‘kekoh bokbong’. Atau orang tua akan panggil bokbong jika anaknya degil agar diambil oleh bokbong.

Dengan kata lain, haiwan bernama bakbong amat ditakuti kanak-kanak. Hakikatnya, mereka belum pernah melihat bokbong pun. Kira bokbong ni macam hantulah. Tidak pernah lihat tetapi banyak orang takut hantu.  

Nama bokbong sebenarnya dialek Kelantan. Nama di Kedah dipanggil bambun dan di Pulau Pinang pula dipanggil jebon. 

Jadi, gelaran jebon yang digunakan oleh P Ramlee yang berasal dari Pulau Pinang dalam filem Do Re Mi memang tepat untuk menggambarkan sifat bokbong yang digambarkan oleh orang Kelantan.

Nama bokbong dalam Kamus Dewan dipanggil cerpelai atau mongoose dalam bahasa Inggeris. Ia sejenis haiwan daripada jenis musang, Herpestes spp.

Haiwan ini digambarkan haiwan sangat lincah dan licik. Kepantasan gerak tangan (kaki hadapan) membuatkan ia mampu menewaskan ular tedung. 

Kalau nak tengok gaya cerpelai beraksi melawan ular tedung sama seperti lagak kucing. Sebab itu ada dakwaan mengatakan kucing berasal dari cerpelai yang telah melalui evolusi.

Budak-budak sekarang tidak lagi ditakutkan dengan bokbong yang dianggap hantu dan 'muga'. Ibu dan orang dewasa pun tidak lagi menyebut mengenai bokbong. Kerana mereka pun tidak pernah melihat bokbong sebenar. 

No comments:

Post a Comment