Sunday 3 November 2019

TUNAI JANJI ELAK SIKAP MUNAFIK


Sesungguhnya, apabila membuat janji, bermakna telah terbentuk satu tanggungjawab melaksanakannya. 

Tanggungjawab adalah amanah. Sesiapa tidak melaksanakan amanah dipanggil pecah amanah. Individu yang mementingkan harga diri sudah tentu tidak mahu dirinya dikenali sebagai tidak amanah. 

Orang yang tidak amanah tidak akan dipercayai untuk diserahkan tugas yang penting. Hal ini sudah tentu merugikan diri sendiri. Sekali identiti tidak amanah terlekat pada diri, sukarlah untuk dibuang daripada ingatan orang lain.  

Sikap tidak amanah, tidak menepati janji dan bercakap bohong mempunyai kaitan rapat. Tidak keterlaluan jika dikatakan orang tidak amanah layak dipanggil pencuri, seperti kata pepatah, senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi pencuri.

Individu suka berjanji dan kemudian tidak menepatinya berpunca kerana ramai individu lain yang sanggup menjadi mangsanya. Dia suka berjanji dusta kerana orang lain mudah mempercayainya.

Sebaliknya, jika semua orang sentiasa mengamalkan sikap berhati-hati, tidak mudah menerima akuan janji (sebagai pihak kedua), kejadian mungkir janji dapat dikurangkan. 

Orang yang hendak menerima akuan janji daripada seseorang perlulah menyelidiki sama ada orang berjanji itu amanah atau sebaliknya. 

Tidak ada gunanya menerima janji dengan individu telah dikenali tidak beramanah. Kemungkinan janji itu tidak ditepati amat besar. Kita hanya perlu menyerahkan amanah kepada individu yang diketahui keupayaan melaksanakan amanah itu.  

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).” (Surah an-Nisa, ayat 58). 

Ikatan janji secara dasarnya lahir daripada sikap saling mempercayai dan menghormati  antara kedua-dua pihak yang mengikat janji. Pihak pertama yang mengucapkan janji mempunyai perasaan menghormati pihak kedua yang secara jujur menerima janji, memberi peluang untuknya melakukan sesuatu pada masa akan datang.  

Manakala pihak kedua pula mempercayai pihak pertama akan melaksanakan janji yang diucapkan.   

Berdasarkan kepada sifat-sifat murni terbentuk dalam ikatan janji, maka perlu dilaksanakan agar tidak timbul perkara di sebaliknya.     

Padah tidak menunaikan janji memang buruk. Kerugian yang ditanggung bukan sahaja di dunia, bahkan lagi di akhirat nanti. Orang yang tidak menunaikan janji termasuk golongan munafik.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tiga perkara, sesiapa yang berada di dalamnya, maka dia adalah munafik, walaupun dia berpuasa, sembahyang dan mengaku dirinya seorang Muslim. (Perkara itu ialah) Apabila bercakap ia berbohong, apabila berjanji ia memungkiri dan apabila dipercayai dia khianat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

No comments:

Post a Comment