Friday 8 November 2019

INDIVIDU BERSIFAT DENGKI SENTIASA MENDERITA


Orang yang bersifat hasad (dengki) tidak akan terlepas dari perbuatan memburuk-burukkan orang lain, berdusta, mencaci dan mengumpat. Orang bersifat dengki terhalang dari mendapat syafaat.

Sabda Rasulullah SAW: "Tidaklah termasuk golonganku, si pendengki, orang yang mengadu domba, orang yang mengamalkan ilmu tenung, dan sayapun tidak dari golongan mereka." (Hadis riwayat Thabrani)

Pendengki sanggup berbuat sesuatu yang akan membahayakan orang lain. Allah SWT menyarankan agar memohon kepadaNya perlindungan dari kejahatan Syaitan dan kejahatan pendengki.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan dari kejahatan si pendengki apabila dia mendengki" (Surah Al Falaq, ayat 5)

Sesiapa mempunyai sikap dengki bermakna hati telah menjadi buta. Seorang yang hasad dengki seakan tidak dapat memahami hukum Allah lagi asalkan dia dapat melaksanakan kedengkiannya seperti tindakan Qabil membunuh Habil.

Berkata Sufyan: "Janganlah engkau menjadi orang yang pendengki serta cepat mengambil kesimpulan."

Tanda adanya hasad dengki dalam diri kita ialah apabila orang lain dapat kejayaan kita sakit hati dan orang lain dapat bencana kita senang hati. Jiwa sentiasa rasa menderita dan terseksa.

Bila wujud hasad dengki dalam diri, akan berlakulah hina menghina, fitnah memfitnah, benci membenci, dendam-mendendam, jahat sangka dan mengadu domba yang semuanya akan mendatangkan dosa-dosa dan menghapuskan kebaikan lainnya.

Mungkin ada sedikit kebaikan yang pernah kita buat, semuanya akan terhapus dengan cepat umpama api membakar kayu api atau rumput.

Seseorang yang melayan hasad dengkinya adalah penjahat dan perosak serta pemecah-belah persaudaraan antara manusia. Juga dia seorang yang paling biadab dengan Allah SWT.

Sama ada dia sedar atau tidak, dia benci kepada Allah, serta tidak syukur dan redha dengan pemberian Allah.

Dalam sejarah umat Islam yang terdahulu seorang ulama Islam yang besar Imam Abu Hanifah telah difitnahkan oleh beberapa ulama dizamannya.

Mereka menaruh hasad dengki kepada beliau kerana ilmunya yang luas dan ramainya anak murid yang mengikuti pengajiannya.

Fitnah yang mereka lemparkan keatas beliau hingga pemerentah masa itu telah memasukkan beliau masuk kedalam penjara. 

Tetapi dengan izin Allah, Allah SWT membantu hamba-hamba-Nya yang dianianya dan Abu Hanifah dapat buktikan bahawa segala tuduhan dan tohmahan tersebut adalah fitnah semata-mata dan beliau dibebaskan.

Walau setinggi mana ilmunya, sebanyak mana sekalipun solatnya, puasanya, hajinya dan hebat perjuangannya tetapi di sisi Allah tetaplah dia ahli Neraka, kerana hakikat orang yang berhasad dengki itu orang yang biadap dengan Allah.

Kalau betul kita beriman kepada Allah dan takutkan Neraka, insaflah akan kejahatan hati-hati kita itu dan marilah kita membaikinya dengan melakukan mujahadatunnafsi. Lawanlah sungguh-sungguh sifat mazmumah itu.

No comments:

Post a Comment