Wednesday 30 October 2019

APAKAH HUKUM PILIH PEMIMPIN BUKAN ISLAM


Hukum mengundi calon bukan Islam dalam pilihan raya di Malaysia dan melantik mereka sebagai pemimpin adalah harus selagi tidak mengancam Islam dan penganutnya.

Hasil penelitian terhadap ayat al-Quran dan pandangan pelbagai ulama tersohor, tiada dalil muktamad yang melarang mengundi calon bukan Islam.

Ayat al-Quran yang dijadikan hujah oleh ulama untuk mengharamkan pemilihan bukan Muslim sebagai wakil rakyat, apabila diteliti sebenarnya merujuk kepada orang kafir yang memusuhi Islam dan penganutnya.

Hukum asal mengundi orang bukan Islam dalam pilihan raya dan melantik mereka sebagai pemimpin adalah harus, kecuali apabila terdapat sifat mendatang seperti memberi ancaman kepada kemuliaan Islam, tiada sifat amanah dan tiada kepakaran dalam melaksanakan tugas.

Bagi golongan bukan Islam yang tidak bermusuh dengan Islam dan patuh kepada Perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, maka larangan itu tidak terpakai.

Semua faktor itu haruslah diambil kira dalam membuat keputusan sebelum mengundi dan memilih, selain memastikan jawatan tertinggi negara seperti Perdana Menteri, portfolio hal ehwal Islam dan pertahanan negara adalah kekal disandang oleh orang Islam yang berkelayakan sahaja.

Tidak dinafikan majoriti ulama silam mengharamkan pelantikan bukan muslim sebagai pemimpin dan keharusan hanya diberikan apabila terdapatnya darurat.

Al-Qadhi Iyadh dalam kitabnya Syarh Shahih Muslim, Ibnu Munzir (Ahkam Ahl al-Dzimmah) dan Ibnu Hazm (Maratib al-Ijma’) misalnya, sepakat bahawa kepemimpinan tidak boleh diserahkan kepada orang kafir berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 28.

Al-Jassas sewaktu menafsirkan ayat 28 Surah Ali Imran berpendapat ia menjadi dalil pengharaman meminta bantuan bukan muslim dan mempercayai mereka dan mereka tidak berhak memperoleh kekuasaan (wilayah) ke atas orang muslim.

Ulama seperti Ibnu Hajar al-Haitami, Imam ar-Ramli dan Imam Khatib as-Syarbini pula berpandangan harus melantik bukan muslim untuk suatu jawatan jika adanya maslahah padanya, jawatan itu tidak mampu dipikul mana-mana orang Islam atau orang Islam mempunyai sifat khianat.

Beberapa ulama Kontemporari termasuk Dr Yusuf al-Qaradhawi senada mengenai keharusan melantik bukan muslim sebagai pemimpin.

Dr Yusuf berpandangan bukan Muslim mempunyai hak untuk menjawat jawatan negara kecuali jawatan lebih dominan unsur keagamaan seperti ketua negara, panglima tentera, penghakiman antara orang Islam dan pengurusan zakat.

Jawatan lain harus bukan Muslim menjawatnya jika syarat cekap, amanah dan kesetiaan kepada negara dipenuhi. Bahkan beliau turut berpandangan tiada masalah untuk melantik bukan Muslim sebagai timbalan Presiden sesebuah negara, khasnya jika bukan Muslim membentuk jumlah komposisi penduduk yang besar, seperti Sudan.

Justeru, hukum mengundi bukan Muslim dalam pilihan raya dan melantik mereka sebagai pemimpin adalah harus berdasarkan faktor wakil rakyat bukan ketua atau imam; wakil rakyat tidak berkuasa menentukan dasar secara sendirian; kontrak sosial muslim dan bukan muslim serta budaya masyarakat Malaysia dalam sebuah negara demokratik.

- Diambil dari pandangan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri

- Gambar hiasan. 

No comments:

Post a Comment