Saturday 26 October 2019

APAKAH HUKUM TERNAK HAIWAN LEPAS BEBAS

Hukum memakan harta orang lain tanpa izin adalah dilarang. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud: "Janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan cara yang salah."

Bagi haiwan, tidak mampu berfikir seperti manusia dan tidak menghiraukan dari mana sumber makanannya. Tiada hukum halal haram bagi binatang.

Oleh itu tuan punya haiwan yang bertanggungjawab memastikan sumber makanan haiwan tersebut dan tidak dibiarkan bebas makan di kawasan larangan.

Cara haiwan itu makan dan membesar menentukan harus atau tidak daging dimakan atau digunakan hasil jualannya.

Banyak penternak melepaskan haiwan ternakan merayau yang pasti akan makan apa sahaja yang dijumpai. Lembu dan kembing biasanya akan memakan pokok tanaman orang kampung yang pastinya merugikan pemilik pokok itu.

Menternak dengan cara melepaskan haiwan ternakan adalah tidak harus, melainkan kawasan menternak jauh dari kawasan penempatan.

Maka hasil daging dan jualan ternakan itu juga tidak harus digunakan. Jika dimakan atau diambil manfaatnya, maka ia tidak membawa berkat dan menjadi dosa.

Rezeki daripada hasil haram akan menumbuhkan tubuh, darah dan daging yang akan menjadi bahan bakar api neraka. Setiap suapan makanan yang tidak halal diisi ke perut akan memberi kesan kepada nilai dan kualiti hidup seseorang.

Ajaran Islam amat mementingkan agar setiap penganutnya hanya memakan atau menggunakan sumber yang diperoleh secara halal.

Firman Allah bermaksud: “Oleh itu makanlah (wahai orang-orang yang beriman) semua yang telah dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.” (Surah al-Baqarah, ayat 172).

No comments:

Post a Comment