Tuesday 22 October 2019

APAKAH HUKUM BERHIBUR MENDENGAR MUZIK


Secara umumnya, terdapat 3 golongan masyarakat yang berbeza pendapat tentang keharusan lagu dan muzik. Pertama adalah mereka yang membuka pintu yang luas untuk semua jenis hiburan dan lagu dan menganggap lagu dan muzik merupakan suatu bentuk keindahan dalam hidup yang dibenarkan oleh Allah untuk hamba-hamba-Nya.

Kedua, golongan yang mutasyaddid, menutup terus ruang-ruang untuk berhibur terutama apabila hiburan tersebut disampaikan oleh golongan wanita. Mereka mendakwa suara wanita adalah aurat, apatah lagi dengan nyanyian-nyanyian itu sendiri. 

Ketiga, golongan yang duduk antara dua golongan yang sebelumnya, masyarakat yang menanti jawapan daripada golongan fuqaha dan ulama berkaitan perkara yang berhubung dengan kehidupan mereka seharian lebih-lebih lagi apabila radio sudah masuk ke rumah-rumah mereka. 

Bagi golongan yang mengharamkan terus hiburan, nyanyian mahupun muzik sepenuhnya, mereka datang dengan dalil-dalil yang dipetik daripada Al-Quran, assunnah, dan ijmak, serta menggunakan kaedah "menutup ruang-ruang membawa kepada haram" dan kaedah menjauhi subhah. 

Namun begitu, majoriti fuqaha antaranya Syeikh Yusuf Al-Qardhawi menjawab bahawa nas-nas yang didatangkan walaupun ditafsir oleh para sahabat seperti Ibnu Masud dan Ibnu Abbas dalam sesebuah ayat, ia bukanlah satu-satunya tafsiran yang boleh diambil kira”

Namun terdapat tafsiran-tafsiran lain yang boleh diguna pakai dalam menafsirkan ayat tersebut. Tafsiran para sahabat untuk satu-satu ayat tidak dihukumkan dengan marfu melainkan tafsiran yang turun sebagai asbab nuzul.

Syeikh Wahbah Zuhaili menukilkan kata-kata Imam Al Fakihani; “Tidak aku ketahui daripada Kitab Allah mahupun sunah suatu hadis yang sahih dalam pengharaman hiburan-hiburan malah ia adalah zahir dan umum ayat yang boleh ditakwil tanpa dalil-dalil yang qatie”

Adapun untuk nas-nas daripada assunnah yang dijadikan dalil pengharaman oleh golongan ini telah pun dihukumkan daif.  Oleh itu, kebanyakan ulama mengharuskan lagu-lagu untuk didengar walaupun yang datang daripada gambus dan seruling.

Kaedah seterusnya yang dijadikan dalil oleh golongan yang mengharamkan terus hiburan ialah menutup ruang-ruang yang boleh membawa kepada haram.

Syeikh Yusuf Qardhwi menjawab bahawa kaedah ini tidak sepatutnya digunakan secara berlebih-lebihan terutamanya apabila mengharamkan sesuatu yang boleh membawa kepada kebaikan dan menyempitkan ruang-ruang yang telah diberi sedangkan kaedah ini terdapat tahap-tahapnya dan tidak sampai tahap yang ditutup terus jalan ke arahnya.

Manakala kaedah menjauhi perkara-perkara subhat bukanlah suatu kewajipan, namun ia adalah perkara sunat sahaja yang digunakan untuk perkara yang samar-samar, bukanlah digunakan antara dua perkara yang sudah jelas keharusannya.

Mengikut kaedah usul fiqh, asal sesuatu perkara adalah harus sehingga datangnya dalil pengharaman. Perkara yang sudah jelas pengharamannya tidak boleh diingkari lagi pengharamannya, namun perkara yang diikhtilafkan, sesebuah golongan tidak boleh mengilzamkan yang lain supaya berpegang dengan satu-satu pendapat.

Memetik pandangan Imam Nawawi yang menarik dalam hal ini; “Setiap mujtahid telah mendapat pahala kerana benar, adapun mujtahid yang tersalah tidak dipertanggungjawabkan, kerana dosa telah terangkat daripadanya.”

Sedangkan golongan yang membolehkan hiburan pula mendatangkan nas-nas daripada ayat Al-Quran, hadis, kata-kata para sahabat dan kembali kepada maqasid syariah.

Maqasid syariah mengatakan bahawa Islam tidak pernah mengharamkan suatu yang baik melainkan ia membolehkannya, sebagai rahmat kepada ummah untuk kebaikan jiwa-jiwa dan akal manusia.

No comments:

Post a Comment