Tuesday 10 July 2018

BALA KESAN FITNAH MEDIA SOSIAL

Penyebaran berita melalui media sosial kini menjadi pilihan banyak pihak yang mengambil kesempatan perkhidmatan yang dianggap murah, cepat, meluas dan mudah. Namun begitu, kelebihan ini sering disalahgunakan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan berita dan gambar serta video berbaur fitnah, perkauman dan menyentuh sensitiviti agama. Berita seumpama itu mudah mendapat perhatian orang ramai untuk disebarkan kepada penerima lain.

Masyarakat yang dipenuhi budaya fitnah akan hidup dalam keadaan gawat. Sebelah pihak sibuk menyebarkan fitnah dan sebelah pihak lagi terpaksa berusaha menangkis fitnah itu. Natijah akibat perbuatan tersebut boleh tercetusnya persengketaan antara pihak yang dilibatkan dalam fitnah itu.   

Berita fitnah mendatangkan kesan amat buruk terutama dalam soal penting dan sensitif melibatkan individu berkedudukan, keselamatan negara dan soal agama. Di negara kita yang mempunyai penduduk pelbagai bangsa dan agama anutan, isu-isu berkaitan bangsa dan agama amat sensitif.

Justeru itu, masyarakat perlu dididik agar memastikan kebenaran sesuatu berita agar tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Setiap berita yang diterima perlu diperhalusi agar tidak terlibat dalam kancah berita berunsur fitnah.

Sebarang berita yang diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.     

Banyak pihak yang turut terlibat menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai apa-apa kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah telah menjadi kebiasaan, banyak orang yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu.

Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburuk-burukan individu atau kumpulan. Pada masa yang sama perbuatan tersebut dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang diburuk-burukkan itu.

Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar suka-suka dan untuk menunjukkan tanda prihatin terhadap sesuatu perkara.  

Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan ‘dengar khabar’ mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat bahawa berita itu belum sahih telah hilang dan kemudian disebarkan seperti satu berita benar.

Malah, ada yang menyebarkan berita fitnah dalam bentuk pertanyaan. Kononnya, berita itu disebarkan untuk mendapat kepastian daripada pihak lain. Sedangkan hakikat sebenarnya, pertanyaan itu bukan ditujukan kepada pihak yang boleh memberi jawapan.

Soalan itu sebenarnya berbentuk provokasi bertujuan menimbulkan unsur keresahan dan inginkan kepastian daripada pihak lain pula. Lantas, berita itu disebarkan kepada orang lain pula agar mendapat jawapan mengenainya. 

Kita mempunyai pihak berkuasa berkaitan sesuatu bidang untuk mengendalikannya. Pihak berkenaan mempunyai kepakaran dan maklumat yang lengkap untuk dijadikan tanda rujuk yang tepat.

Perkara pertama perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan daripada mana sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita tersebut.  

Jangan terlalu mudah melatah dan merasa seperti satu tanggungjawab untuk menyebarkan berita yang belum pasti kebenarannya. Banyak orang mudah terpengaruh mempercayai berita yang dikaitkan dengan kepentingan agama. 

Banyak yang berpendapat tindakan menyebarkan berita sedemikian sebagai sebahagian daripada dakwah dan jihad untuk agama. Tindakan itu dianggap satu pahala dan kebajikan untuk kepentingan semua. Kita tidak sepatutnya terperangkap dengan agenda buruk yang dirancang oleh pihak tidak bertanggungjawab.

No comments:

Post a Comment