Wednesday 4 July 2018

SIKAP SABAR MEMBINA JIWA TENANG

Ungkapan sabar memang mudah diucapkan, tetapi sukar untuk diamalkan. Itulah hakikat mengapa sifat sabar perlu dididik dan diamalkan sepanjang masa. Sikap sabar membina jiwa tenang. Kesabaran diperlukan dalam pelbagai situasi yang berbeza-beza pendekatan untuk menghadapinya. 

Sabar paling sukar ialah untuk mengawal kemarahan. Ini kerana perbuatan marah datangnya dari syaitan yang sentiasa mengambil kesempatan untuk mencetuskan keadaan perbalahan sesama manusia. Kemarahan yang tidak terkawal boleh mencetuskan tindakan yang bukan saja dizahirkan melalui kata-kata kesat, bahkan boleh merebak kepada tindakan fizikal yang keterlaluan. 

Cara yang diajarkan oleh Rasulullah SAW untuk mengawal marah ialah dengan berwuduk. Hal itu dijelaskan Rasulullah SAW melalui sabda yang bermaksud: “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api, dan api itu hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu, jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Ketika marah tahap kewarasan fikiran seseorang berada pada kedudukan paling rendah. Sebab itu, ketika marah fikiran akan merancau menyebut perkara bukan-bukan dan melakukan tindakan seperti hilang akal. 

Untuk mengawal keadaan ini memerlukan kerjasama atau bantuan orang lain. Jika kemarahan itu ditujukan kepada seseorang, maka orang yang berkenaan perlu meninggalkan tempat itu. Tindakan itu bukan dayus, tetapi untuk mengelak keadaan lebih buruk. Jika terus berada di tempat itu, mungkin timbul berbalas perasaan marah. Apabila kedua-dua pihak tidak dapat mengawal perasaan marah, keadaan menjadi tidak terkawal.

Ingatlah pesan Rasulullah SAW melalui sabda yang bermaksud: “Orang yang kuat itu bukan terletak pada kemampuan berkelahi, tetapi orang yang kuat itu adalah yang dapat mengendalikan diri mereka ketika sedang marah.” (Hadis riwayat Ahmad)

Satu lagi sifat sabar yang perlu diamalkan ialah ketika berdepan dengan musibah atau malapetaka. Sebagai muslim, segala kecelakaan yang berlaku perlu dihadapi dengan sabar dan bertakwa. Ini kerana apa yang terjadi sudah termaktub sebagai qada dan qadar yang perlu diyakini bahawa ia telah ditentukan oleh Allah SWT. Mempercayai qada dan qadar menjadi sebahagian Rukun Iman.

Musibah yang menimpa merupakan sebahagian daripada bentuk ujian yang diberikan Allah SWT. Mereka yang beriman menerimanya dengan hati terbuka dan sabar menghadapi ujian itu. Kesabaran menghadapi musibah meletakkan seseorang dalam kalangan mereka yang beroleh kejayaan sebenar dalam kehidupan ini.

Sesungguhnya Allah SWT memberi ganjaran berlipat ganda kepada orang yang bersabar. Ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang sabar sajalah yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira? (Surah az-Zumar, ayat 10).  

Balasan bagi orang yang sabar dinikmati ketika di dunia, mahupun di akhirat. Mungkin kita melihat orang yang sabar tidak mendapat apa-apa kebaikan di dunia kerana musibah yang dihadapi tidak ini hilang, bahkan bertambah-tambah, tetapi secara rohaninya dia beroleh ketenangan. Orang yang sabar berada dalam keadaan tenang dan reda ketentuan Allah SWT. Jiwa yang tenang adalah satu nikmat yang tidak terkira untungnya. 

Sebab itu, orang yang sabar tidak merasakan tekanan untuk berdepan dengan musibah mahupun ujian hidup. Dia sedar, keadaan yang dihadapi itu ada hikmah yang hanya Allah SWT mengetahuinya. Sesungguhnya Allah SWT tidak sekali-kali mensia-siakan hamba yang sentiasa bersabar.

Tahap kesabaran yang jitu memberi pengertian bahawa seseorang itu tidak menolak ketentuan Allah SWT. Ketaatan dan pengharapan kepada Allah SWT tidak sedikitpun goyah atau berkurangan. Semakin kuat ujian yang terpaksa diterima, bertambah-tambah lagi ketakwaan dan keimanannya. 

Firman Allah SWT yang maksudnya: "Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka dialah yang beroleh petunjuk, dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka merekalah orang yang rugi" (Surah al-A`raf, ayat 178).  

Sesungguhnya, apa juga masalah atau ujian di dunia ini tidak sehebat kehidupan di akhirat. Matlamat hidup muslim bukan untuk dunia, tetapi lebih penting ialah di akhirat nanti. Sekiranya, Allah SWT menguji hidup di dunia dengan musibah dan kegagalan, maka itulah himpunan pahala yang bakal diraih di akhirat kelak, selagi kita bersabar dan reda terhadap apa yang berlaku.

No comments:

Post a Comment