Monday, 25 June 2018

GUNUNG LEDANG PENUH MISTIK DAN CERITA DONGENG

Gunung Ledang dengan ketinggian 1276 meter dari aras laut adalah gunung tertinggi di Johor. Gunung Ledang banyak menyimpan sejarah lagenda Puteri Ledang yang dikaitkan dengan syarat peminangan yang cuba ditunaikan oleh Sultan Melaka kecuali semangkuk darah puteranya sendiri. Gunung Ledang juga dikenali Mount Ophir.

Diselubungi lagenda mistik dan cerita dongeng, Gunung Ledang terus mempesona dan menimbulkan rasa ingin tahu penduduk tempatan dan pelancong. Menurut legenda Puteri Gunung Ledang, Sultan Melaka mahu mengahwini Puteri itu tetapi dia tidak mahu berkahwin dengan Sultan lalu meminta Sultan mempersembahkan tujuh balang air mata wanita, tujuh dulang hati nyamuk serta tujuh mangkuk darah anak Sultan. Sultan tidak dapat memenuhi permintaan mustahil ini, lalu Puteri itu melarikan diri ke gunung serta terus hidup di dalam gua yang tersembunyi, hingga ke hari ini.

Gunung ini sangat ideal untuk pelbagai aktiviti luar dengan denai gunung yang mencabar, air terjun yang dingin, serta flora dan fauna eksotik termasuk berbagai-bagai spesis burung. Melalui puncak yang agak rata, 1.276m di atas paras laut, pemandangan panorama Selat Melaka dan juga pesisiran pantai Sumatera dapat dilihat pada hari yang cerah. Air Terjun Sagil di kaki gunung juga merupakan tempat perkelahan yang popular.

Nama Gunung Ledang dipercayai mula digunakan pada zaman empayar Majapahit yang bermaksud 'gunung yang jauh'. Di kalangan pelayar dari China pula memanggilnya 'kim sua' atau Gunung Emas.

Gunung Ledang kini termasuk satu satu kawasan yang diwartakan sebagai Taman Negara (Johor) dan dilindungi sepenuhnya sebagai kawasan kawalan melalui Enekmen Perbadanan Taman Negara (Johor) Tahun 1989.

Taman Negara Johor Gunung Ledang meliputi kawasan seluas 10,022 hektar. Kira-kira 13 peratus kawasannya terdiri hutan simpan dara.

Gunung Ledang merupakan antara gunung yang paling diminati para pendaki untuk menawan kemuncaknya. Setiap tahun kira-kira 50,000 orang berusaha mendaki ke puncaknya. Pendakian biasanya mengikut dua laluan utama iaitu mengikut pekan Sagil di Johor dan Asahan di Melaka.

Laluan Sagil lebih dekat untuk sampai ke puncak dan terdapat banyak sumber air diperoleh sepanjang laluan, tetapi terpaksa melalui banyak tebing curam yang menyukarkan pendakian. Manakala laluan Asahan pula lebih landai, kecuali beberapa tempat yang curam, tetapi lebih jauh dan hanya terdapat satu tempat sumber air sepanjang pendakian ke puncak.

Masa mendaki untuk kedua-dua laluan antara tiga hingga lima jam mengikut keupayaan fizikal pendaki dan bilangan ahli kumpulan yang menyertainya.

Bagi setiap 10 orang pendaki diwajibkan disertai oleh seorang penunjuk jalan yang berdaftar dengan Taman Negara Johor Gunung Ledang.

Selain mendaki ke puncak, orang ramai juga berpeluang melakukan pelbagai aktiviti lain di kawasan Taman Negara Johor Gunung Ledang seperti paragliding, memerhati burung, merentas hutan, berkhemah dan beberapa aktiviti lain yang dikendalikan oleh pihak perbadanan.

No comments:

Post a Comment