Sunday 10 June 2018

HUKUM UCAP SELAMAT PERAYAAN BUKAN ISLAM

Membina dan menjaga hablum minan nas atau hubungan sesama manusia satu perkara perlu dititik beratkan untuk menjamin kehidupan dalam keadaan aman dan selamat terutama hidup dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. Satu perkara perlu diamalkan adalah menghormati kedudukan agama lain.  

Setiap agama ada perayaan dirayakan penganutnya. Dalam konteks masyarakat Malaysia, ucapan selamat kepada penganut agama lain yang menyambut perayaan sudah menjadi amalan atau budaya. Ucapan selamat itu bukan bermakna kita mengiktiraf agama mereka, tetapi sekadar satu bentuk hubungan kemanusiaan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 telah membincangkan Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam. 

Muzakarah memutuskan bahawa:
- Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.
- Walau bagaimanapun sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.
- Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.

Menjadi hak setiap agama merayakan hari raya tanpa mengganggu pihak lain. Kita orang Muslim tidak dilarang dalam agama kita untuk mengucap tahniah penduduk negara kita dan jiran kita yang terdiri daripada agama lain pada hari raya mereka.

Ini termasuk dalam berbuat baik yang disebut dalam al-Quran: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu dan tidak mengeluarkan dari kampung halaman kamu (negeri atau negara kamu). Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8)

Bagaimanapun, keharusan itu tidak pula sampai melibatkan penyertaan orang Muslim dalam upacara dan ritual khusus agama lain yang menjadi amalan khusus bagi penganut agama berkenaan.

Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah yang dianggotai oleh ramai sarjana Islam turut membolehkan Muslim mengucapkan tahniah atau selamat sempena perayaan mereka. Ini lebih dituntut apabila mereka terlebih dahulu mengucapkannya semasa perayaan Islam. (rujuk surah al-Nisa, ayat 86).

Pun begitu, mereka tetap mengharamkan Muslim menyertai perayaan agama lain. Hanya sekadar ucapan sempena perayaan. Yang perlu diberi perhatian adalah tindakan segelintir umat Islam yang semberono terikut-ikut dengan perbuatan orang kafir dalam menyambut perayaan mereka waima atas alasan suka-suka. Jangan pula kita yang lebih-lebih menyambutnya seperti menjadi sebahagian daripada mereka.

Sesungguhnya, mengucapkan selamat sempena perayaan penganut agama lain adalah dibenarkan dengan syarat ia tidak mengandungi ungkapan yang syirik atau kufur seperti menyebut ‘anak Allah’ atau tuhan selain Allah.

Islam juga menyuruh kita memberikan ucapan yang baik kepada orang yang mengucapkan ucapan yang baik kepada kita. Ini adab Islam yang tinggi. Ia merangkumi sesama Islam atau kepada bukan Islam. Sehingga Ibn Abbas menyebut: Jika Firaun berkata kepadaku “semoga Allah memberkatimu, nescaya aku menjawab ‘untuk engkau juga’”. (Hadis riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).

Orang Islam terutama pemimpin, orang yang mempunyai kedudukan, pengaruh dan contoh tauladan tidak boleh sama sekali menyertai atau melakukan apa-apa aktiviti perayaan agama orang bukan Islam yang bersifat kepercayaan bagi penganut agama berkenaan.

Mengadakan jamuan atau acara keramaian sempena hari raya dan hari-hari kebesaran semua kaum diharuskan. Ia memperlihatkan sikap saling menghormati antara penganut agama.

No comments:

Post a Comment