Thursday 13 January 2022

BIARKAN ORANG TERPAKSA MENCURI

Mencuri satu kesalahan. Namun, pernahkah kita bertanya mengapa orang mencuri itu mencuri? Banyak orang mencuri kerana terdesak untuk memenuhi keperluan hidup. Buntu dan rasa kecewa dengan apa yang dihadapi. Maka, tindakan mudah ialah dengan mencuri.

Tiada siapa yang menyokong dan mengatakan mencuri itu baik. Tidak juga untuk membela pencuri. Mencuri tetap satu kesalahan.

Tetapi, kita sebagai masyarakat juga kena rasa ‘bersalah’ kerana tidak membantu jiran, rakan ataupun saudara mara sehingga menyebabkan yang mencuri ‘terpaksa’ mencuri.

Kalau yang mencuri ditangkap atau dikesan melakukan perbuatan tersebut, tindakan berhemah sepatutnya dilakukan. Kita ada undang-undang. Kalau berasa perlu diserahkan kepada polis, lakukan tindakan tersebut agar yang melakukan mencuri itu diadili mengikut lunas undang-undang.

Jangan ambil tindakan ‘menghukum’ sendiri oleh pihak lain, termasuk yang menangkapnya. Tindakan menghukum itu dianggap sebagai mendahului hukuman pihak berkuasa (jika didapati bersalah).

Dalam undang-undang, seseorang pesalah tidak boleh dihukum dua kali untuk satu kesalahan sama yang dilakukan.

Dia telah ‘dihukum’ oleh pihak menangkapnya dan kemudian dijatuhi pula hukuman oleh pihak mahkamah.

Soal hukuman di akhirat, hanya Allah yang menentukan. Jika dia bertaubat dan taubatnya diterima, maka terlepaslah dia hukuman di akhirat.

Sekali lagi ingin ditegaskan, tidak menyokong atau membela perbuatan mencuri. Mencuri perbuatan salah di sisi agama, undang-undang dan sosial.

Tetapi, menjatuhkan hukuman secara tidak hak juga adalah salah di sisi agama, undang-undang dan sosial.

Gambar hiasan: Pemandangan di Pantai Irama Bachok 

No comments:

Post a Comment