Sifat
bersederhana membawa lebih keberkatan dan kebaikan yang berterusan. Ia dapat
mengelak daripada pembaziran apabila makanan tidak habis dimakan. Perut kita tidak
mungkin dapat menerima jumlah makanan yang banyak melebihi apa sepatutnya.
Makan
dan minum berlebih-lebihan banyak keburukannya. Kesan langsung akibat terlalu
kenyang ialah rasa letih, ingin tidur, fikiran lemah dan malas.
Keadaan
ini tentulah menghalang daripada meneruskan ibadat yang sepatutnya
diperbanyakkan pada malam-malam Ramadan, terutamanya sembahyang tarawih dan
membaca al-Quran.
Imam
Syafie yang terkenal bijak dan warak pernah berkata: “Aku tidak pernah makan
kenyang sejak berusia 16 tahun kerana kekenyangan akan menambah berat badan,
mengeraskan hati, menumpulkan otak, menyebabkan mengantuk dan malas beribadat.”
Manakala
Syaidina Umar pula berkata: “Jauhi makan berlebihan. Sesungguhnya ia penyebab diri mewarisi
penyakit, menyebabkan malas bersembahyang dan hendaklah kamu menjaga makan,
kerana ia paling baik untuk jasad, dan hindarkan daripada berlebih-lebihan,
sesungguhnya Allah bencikan orang alim yang gemuk.”
Kajian
perubatan mendapati cara makan yang tidak baik, terutamanya makan terlalu
banyak dan gelojoh adalah punca masalah kesihatan. Banyak penyakit ‘moden’
dihidapi disebabkan tidak mematuhi tata cara makan yang betul.
Untuk
mengelak daripada makan dan minum terlalu banyak ketika berbuka dan mengelak
daripada pembaziran, buatlah perancangan anggaran keperluan makanan yang
sepatutnya bagi setiap ahli keluarga.
Ketika
membeli juadah berbuka, tekadkan niat agar tidak terdorong perasaan tamak dan
gelojoh. Elak diri daripada membeli di gerai yang menjual terlalu banyak jenis
makanan. Selesai membeli apa yang perlu, cepat-cepat tinggalkan kawasan bagi
mengelak terpengaruh membeli yang lain.
Suri
rumah yang menyediakan makanan di rumah, sudah memadai menyediakan satu atau
dua menu berlainan. Jika terasa ingin memakan pelbagai jenis makanan, sediakan
ia pada hari-hari lain. Ia lebih menjimatkan, senang dan mendatangkan kepuasan.
No comments:
Post a Comment