Monday 21 June 2021

Tiada lagi apa boleh dibanggakan dengan PKR

Di negara tidak mungkin parti berasas kaum atau agama mendapat kuasa mutlak atau majoriti untuk menjadi pemerintah. Gabungan parti berbeza asas perjuangan perlu dilakukan, seperti dilakukan BN.

Maka, ada pihak berasakan perlu ada satu parti yang berkonsep nasional tanpa memperjuangkan hanya satu bangsa, agama atau negeri tertentu sahaja.

Dari situ, lahirlah PKR yang diharapkan membawa angin alternatif kepada politik abab baharu. PKR muncul saat negara memasuki ambang gerbang abab ke-21.

Harapan rakyat masa itu sangat tinggi. Dengan menyediakan ruang pelbagai aliran dan kaum, PKR boleh berdiri sendiri dengan gagah, tidak bermodelkan BN.

Pada PRU 1999, PKR menawarkan diri bersendirian. Satu langkah awal dan berasaskan kepada visi asal penubuhan.  

Namun ketika ini PKR seperti tiada pilihan untuk menerajui negara, kecuali berpakat dengan parti lain yang berorientasikan agama dan kaum juga, sama seperti BN atau lain lainnya.

Berpakat bersama parti lain atas ketidakupayaan bersendirian, hanya menunjukkan PKR tidak ada visi alternatif kepada gaya politik konvensional.

Tiada karektor reformis kepada sistem sedia ada. Ketua dan pengikut tidak sabar pada langkah pertama, mereka tidak realistik dan tidak yakin untuk segera ke puncak kuasa dengan idealisme.

Sebuah parti yang munculnya disambut laungan reformasi dan pengharapan menggunung meremajakan sistem politik bernegara yang dianggap sudah uzur, usia dewasanya kini menjadikan sebuah parti biasa biasa saja. Macam yang lain lain jugalah.

Jika benar PKR kuat dan berwibawa dia hendaklah membuktikan dia tak perlukan penyertaan parti lain. Dia tak perlu membentuk pakatan, jauh sama sekali terpaksa merayu kepada parti lain.

Dengan terpaksa menagih pakatan bersama yang lain, PKR tidak lagi mempunyai ideal yang jitu sebaliknya telah banyak berkompromi dengan perkara yang di luar sempadan ideal asasi.

Hujah bahawa kerjasama hanya berlaku dengan pihak yang berkongsi idealisme dilihat sebagai hanya retorik biasa biasa dan hanya dipercayai oleh pentaksub atau oleh mereka yang seperti kelihatan mendokong idealisme tetapi sebenarnya tidak punya apa apa idealisme.

Kompromi terbesar PKR ialah sanggup menjadi ‘pengikut’ kepada Bersatu, parti setahun jagung. Alasan kerjasama adalah untuk menjatuhkan BN dan UMNO. Satu alasan pihak gila kuasa dan bukan berasaskan kepada visi asal perjuangan.

Jika benar PKR bersedia bersama UMNO pada PRU15 nanti, maka habislah sama sekali imej ideal PKR. PKR bukan lagi parti yang ada idealisme yang dahulu dianggap unggul dan murni, yang ada adalah semata mata kuasa.

Apakah harapan lain? Seperti tiada lagi. PKR hanya punya sejarah sebagai sebahagian daripada pembina harapan. Tiada apa-apa lagi yang boleh dibanggakan oleh pendukung PKR. 

 

No comments:

Post a Comment