Thursday 17 June 2021

MENGAPA MUDAH BERJANJI

 

Berjanji memang mudah mudah dilakukan. Dengan mengucapkan beberapa patah perkataan, tulisan atau pergerakan bahagian badan yang difahami, maka terbentuk dan terikatlah satu perjanjian. Janji hanya terbentuk jika pihak pertama menyebut kesediaan menunaikannya.

Ada perjanjian ditentukan oleh pihak kedua. Contohnya seseorang ‘dipaksa’ melakukan sesuatu. Pihak pertama yang perlu melakukan perkara itu tidak pula menyatakan kesediaan, sebaliknya membantah. 

Dalam soal ini tidak wujud janji. Mana-mana janji mesti disanggupi untuk melakukannya oleh pihak pertama dan pihak kedua juga sanggup menerima (turut melakukan, setuju atau mengiakannya).   

Ironinya, janji amat sukar untuk ditunaikan oleh mereka yang kurang kesedaran dalam mematuhi perintah agama. Mereka menganggap janji sekadar hubungan sesama manusia. Justeru, mereka melihat perkara itu perkara biasa. 

Perkara ini terutama dilakukan oleh orang lebih berkuasa terhadap pihak kedua. Pangkat, kedudukan dan kekayaan dijadikan ‘kuasa’ membuat janji. Pada fikiran mereka, kalaupun tidak melaksanakan janji itu, pihak kedua tidak dapat melakukan apa-apa perkara yang boleh mendatangkan kesan buruk. 

Sebab itu, ramai orang menabur janji tanpa memikirkan kemampuan menunaikan. Bahkan ramai berjanji ‘kosong’ atau tidak berniat menunaikannya. Janji dilakukan sekadar untuk menyedapkan hati pihak kedua. 

Disebabkan terlampau mudah, ada membuat janji sehingga berpuluh-puluh dan mungkin beratus kali dalam sehari. Apabila terlalu banyak berjanji, ia mudah dilupakan atau tidak mampu menunaikannya. 

Amalan banyak berjanji perlu dihentikan, jika dirasakan tidak mampu menunaikannya. Berjanjilah jika yakin mampu menunaikannya. Kemudian terserahlah kepada izin Allah sama ada benar-benar dapat ditunaikan atau tidak. 

Perbuatan berjanji dan tidak menunaikannya bukan sahaja berdosa, tetapi juga merugikan diri sendiri. Sekali terkena, orang lain akan berhati-hati kemudiannya. Jika kerap mungkir janji, orang lain tidak mempercayainya lagi, walaupun benar-benar berjanji ingin ditunaikan. 

Tidak dinafikan manusia tidak dapat memastikan apakah berupaya menunaikan janji. Ketentuan tentang apa yang akan berlaku pada masa akan datang hanya Allah mengetahuinya. Manusia hanya merancang, sedangkan Allah menentukannya.

Justeru, kita digalakkan menggunakan perkataan ‘insya-Allah’ apabila membuat janji. Maksud perkataan insya-Allah ialah ‘dengan izin Allah’, yakni segala apa yang akan berlaku hanya berjaya jika diizinkan oleh Allah.  

Malangnya ramai menggunakan perkataan insya-Allah dengan niat tidak ikhlas atau menyalahguna. Perkataan tersebut digunakan bagi mengambil hati dan menyakinkan orang lain bahawa akan ditunaikan jika diizinkan Allah. Sedangkan di dalam hati sudah berkata tidak mahu menunaikannya.

Perkataan insya-Allah juga sering digunakan untuk menunjukkan bahawa dirinya seorang Islam sejati yang patut dipercayai janjinya. Sebabnya seorang Islam pasti berusaha menunaikan janji. 

No comments:

Post a Comment