Wednesday 6 June 2018

KELEBIHAN LAILATULQADAR

Malam Lailatul qadar cukup istimewa kerana ‘nilai’ disamakan dengan 1,000 bulan atau lebih 83 tahun. Sesiapa melakukan ibadat dan kebaikan pada malam itu disediakan ganjaran sama seperti dia melakukannya berterusan selama 1,000 bulan. 

Justeru, ganjaran malam Lailatulqadar perlu direbut setiap muslim yang berusaha menempatkan dirinya pada kedudukan lebih baik di sisi Allah SWT. Amat beruntunglah sesiapa yang mendapat keberkatan Lailatulqadar.

Anugerah Lailatulaqadar hanya diberikan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Daripada Anas meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada umatku Lailatulqadar dan tidak diberikan kepada umat-umat sebelum mereka." (Hadis riwayat Ad-Dailani).

Anugerah itu berkaitan dengan para sahabat yang mengadu bahawa mereka tentu tidak dapat menandingi ibadat umat nabi-nabi terdahulu yang usia mereka hingga ratusan tahun. Sedangkan usia umat Nabi Muhammad SAW sekadar 50 hingga 70 tahun sahaja. Rasulullah SAW wafat pada usia 63 tahun. 

Dengan adanya malam Lailatulaqadar, peluang beribadat lebih ‘lama’ dapat dicapai oleh umat Nabi Muhammad SAW. Malah jika seseorang itu berulang-ulang kali mendapat Lailatulqadar sepanjang hidupnya, maka bertambah-tambahlah kebaikan yang dikumpulkan untuk dibawa mengadap Allah SWT di akhirat nanti.

Sebuah hadis menjelaskan mengenai keberkatan Lailatulqadar yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dan qiam dengan penuh keimananan mengharapkan ganjaran daripada Allah, diampuni baginya dosanya yang lalu, dan sesiapa yang melakukan qiam pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, akan diampuni dosa mereka yang lalu.” (Hadis riwayat Bukhari).

Keistimewaan malam Lailatulqadar juga dikaitkan sebagai malam di mana al-Quran diturunkan. 

Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (agar hamba-hamba Kami tidak ditimpa azab). (Kami menurunkan al-Quran pada malam itu kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmah serta ketetapan yang bakal berlaku (surah al-Dukhan, ayat 3-4).

Al-Quran menjadi anugerah mukjizat kepada umat Nabi Muhammad SAW yang terus berkekalan sepanjang masa. Sedangkan, mukjizat yang dimiliki para nabi lain sekadar wujud semasa hayat nabi berkenaan.

Betapa hebat umat Nabi Muhammad memiliki al-Quran yang menjadi petunjuk sepanjang masa.  

Firman Allah SWT dalam ayat 185 surah al-Baqarah yang bermaksud: “Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi umat manusia dan penjelasan mengenai petunjuk dan perbezaan (antara yang hak dan batil).”

Hal ini telah dinyatakan di dalam firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatul qadar itu? Lailatul qadar ialah malam yang paling baik berbanding 1,000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibrail turun dengan izin Tuhan mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar" (surah al-Qadr, ayat 1-5).

Dalam ayat di atas., Allah SWT secara jelas telah menerangkan berkaitan penurunan al-Quran pada malam al-Qadar. Ini merupakan bukti jelas tentang keutamaan, kemuliaan, keberkatan dan keistimewaan malam lailatul qadar yang tiada tolok bandingannya.

No comments:

Post a Comment