Sunday 3 June 2018

CAPAI IMPIAN MELALUI MLM

Banyak bidang menjanjikan kekayaan tanpa perlu kelulusan tinggi. Apa yang penting ialah keinginan dan daya usaha tanpa mengenal kalah. Tiada jalan mudah untuk berjaya. Antara bidang menjanjikan kekayaan ialah pemasaran berbilang tingkat (MLM).

Pepatah Melayu ada menyebut, ‘Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.’ Sememangnya ini menjadi azimat ramai orang untuk mengejar kejayaan. Hakikatnya, kejayaan tidak datang bergolek. Ia akan datang dengan usaha keras dan komitmen yang tinggi. 

Malah, sekarang ini juga semakin jelas, dalam apa jua bidang, pendidikan sahaja tidak mampu menjamin kejayaan seseorang. malah ada sesetengah mereka yang berjaya dalam hidup tidak pandai membaca.

Banyak individu hanya berpendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi mampu bergelar jutawan selepas terlibat dalam MLM. Pada permulaan menyertai MLM sekadar menerima ajakan kawan, dan tidak bermimpi untuk bergelar jutawan dan mampu memiliki kereta mewah.

Namun peringatan kepada yang ingin menyertai MLM agar tidak terperangkap dengan apa yang sebenarnya ada skim cepat kaya. Banyak aktiviti cepat kaya berselindung kononnya MLM. Disebabkan kejadian itu, banyak orang kecewa dan tidak mahu lagi menyertai mana-mana MLM pada masa akan datang.

Ada juga MLM yang benar dan mempunyai sistem yang betul. Namun, ada pemimpin atau upline yang bertidak secara tidak bertanggungjawab. Mereka 'memaksa' downline agar melabur atau terus membeli barangan dengan jumlah yang banyak semata-mata untuk cepat naik pangkat atau tingkat bonus besar dengan cepat.

Downline dijanjikan dengan macam-macam kejayaan sekiranya membeli produk dengan jumlah tertentu. Kerana tertarik dengan janji, ada yang sanggup membuat pinjaman bank atau koperasi semata-mata untuk memenuhi jumlah yang diperlukan.

Namun, apa yang diharapkan tidak tercapai. Mereka menanggung hutang dan gagal mendapat keuntungan yang diharapkan. Atas alasan inilah banyak yang serik dan tidak mahu menyertai MLM lagi.

Hakikatnya, untuk menyertai MLM hanya perlu modal yang kecil iaitu sekitar bawah RM100 untuk sebarang yuran penyertaan. Ada yang hanya menetapkan RM50 untuk syarat penyertaan dan diberi pula produk yang bernilai sekitar RM30. Dengan kata lain, yuran penyertaan hanya RM20.

Untuk berjaya tidak perlukan modal besar. Yang penting ialah minat dan kesungguhan. Upline akan memberi tunjukajar atau membuat perancangan bagaimana hendak meningkat maju sehingga ke tahap tertinggi.

Menyertai MLM mesti serius dan komited serta bersedia belajar dan bersikap positif untuk mengusahakan perniagaan ini, anda pasti berjaya, tidak kira anda ini berpendidikan tinggi atau rendah.

Dalam MLM, jika anda bersungguh-sungguh dengan kemahuan yang tinggi untuk berjaya, perniagaan ini sesuai untuk anda. 

No comments:

Post a Comment