Tuesday, 29 May 2018

AMALAN RITUAL TIDAK DITERIMA SEBAGAI IBADAT

Ritual bermaksud tatacara dalam upacara keagamaan, adat dan sebagainya. Amalan ritual lahir dari satu kebiasaan yang diterima dan dilakukan dalam masyarakat. Walaupun berkaitan dengan ibadat, sedangkan niat sebenarnya dilakukan kerana satu kebiasan. Maka, ibadat itu tidak diterima oleh Allah sebagai satu ibadat.

Termasuk dalam yang banyak dianggap ritual dalam masyarakat kita ialah ibadat puasa. Dalam masyarakat mengamalkan konsep ritual, sesiapa tidak ikut serta program yang diadakan sepanjang Ramadan dipandang serong.   

Maka atas semangat ritual, ramailah yang memenuhi masjid dan surau menunaikan tarawaih. Disebabkan sembahyang tarawaih telah diterima sebagai ritual, ada orang bersembahyang tarawaih, tetapi tidak menunaikan sembahyang fardu lain. Mereka hanya menunaikan sembahyang fardu Isyak yang dilakukan sebelum sembahyang tarawaih. 

Masjid dan surau biasanya penuh hanya pada awal bulan Ramadan. Sebaliknya hal itu semakin berkurangan apabila penghujung bulan Ramadan. Pada ketika itu, masing-masing sibuk pula kepada sambutan Aidilfitri, yang lebih jelas ritualnya.  

Masih ramai tidak faham mengenai tarawaih. Buktinya, ada yang mengatakan tarawih itu mesti dilakukan di masjid secara jemaah. Sebabnya, sejak dari kecil sehinggalah dewasa, kita hanya melihat orang bertarawih di masjid. Maka, jika ada orang bertarawaih di rumah bersama ahli keluarga, dituduh pula melanggar kebiasaan.  

Sebenarnya sembahyang tarawaih boleh dilakukan berseorangan dan berjamaah di mana-mana sahaja. Masa tarawaih bukan juga mesti ditunaikan sebaik selesai sembahyang Isyak. Masa untuk sembahyang boleh dilakukan sehingga sebelum masuk waktu subuh.

Masyarakat masih tidak dapat membezakan antara hukum dan kebiasaan. Mana yang wajib dan mana yang sunat. Justeru, amat penting guru agama dan pak imam memberi penjelasan mengenai perkara ini. Kaedah hanya menyuruh dan tidak mendidik adalah antara punca berlaku amalan ribual dalam ibadat. 

Sebenarnya konsep puasa ritual ini disebabkan kejahilan ilmu agama dan tahap keimanan. Ramai beranggapan sudah memadai jika berpuasa sekadar menahan diri daripada melakukan perbuatan membatalkan puasa. 

Orang jahil melakukan puasa sekadar mengikut apa yang orang kebanyakan lakukan. Orang lain berpuasa, dia juga berpuasa. Memang tidak sukar melakukan puasa sebab ia telah dilakukan sejak ketika sekolah rendah lagi. Apabila telah dewasa, ibadat puasa sudah menjadi kebiasaan. Hal yang sama diturunkan kepada anak dan begitulah dari satu generasi ke satu generasi.

Kesempurnaan melakukan sesuatu ibadat tidak hanya apabila cukup syarat sah dan batal. Sebaliknya nilai ibadat bergantung kepada kefahaman, keimanan dan ketakwaan orang yang melakukannya.

Orang yang berpuasa bukan diasaskan rasa keikhlasan dan ketakwaan tidak merasai nikmat sebenar puasa. Ketika orang beriman merasai kemanisan berpuasa, orang yang tidak ikhlas melakukannya dalam keadaan menderita menahan lapar dan dahaga.

No comments:

Post a Comment