Wednesday, 29 June 2022

KEISTIMEWAAN RUMAH TIANG 12 SRI GETAM GURI

 
Rumah Tiang 12 dianggarkan berusia lebih 100 tahun. Tapak asalnya di Kampung Atas Paloh, kini ia berdiri teguh di Kampung Dusun Muda, kira-kira tiga kilometer dari tapak asal.

Biarpun beralih tempat, strukturnya masih mengekalkan keaslian rumah asal tersebut. Perpindahan itu adalah usaha Johan Ariff Ismail, 52, untuk menyelamatkan rumah tradisional Kelantan daripada roboh dan pupus apabila ia tidak lagi diduduki.

Proses pemasangan semula rumah yang dinamakan Sri Getam Guri mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan dan melibatkan perbelanjaan RM250 ribu.

Menurut Johan Ariff, ketika di tapak asal, fizikal rumah itu dalam keadaan terbiar, tidak didiami walaupun 70 peratus struktur kayunya masih dalam keadaan baik dan kukuh.

Selepas membeli rumah tersebut, bahagian rumah tersebut dirobohkan dan dileraikan dengan teliti agar keasliannya terjaga sebelum didirikan semula di tempat baharu.

Rumah Tiang 12 itu yang berkeluasan 28 meter persegi adalah jenis Rumah Ibu yang antaranya mempunyai kompenan seperti pemeleh, serambi basah, tebar layar, dinding janda berhias dan motif ukiran flora Alam Melayu.

Pemasangan rabung iaitu sebatang kayu cengal sepanjang 9.45 meter yang kedudukannya paling tinggi dalam rumah itu, antara proses yang paling mencabar sehinggakan memerlukan bantuan antara 20 hingga 30 orang untuk memasangnya dengan berhati-hati, supaya tidak patah.

Rumah Tiang 12 ini antara seni bina Melayu Kelantan yang pupus, dan membangunkannya semula adalah satu perjuangan kerana dahulu kala selain dijadikan tempat berlindung, rumah adalah simbol kepada perkembangan ketamadunan masyarakat ketika itu.

Rumah Tiang 12 ditakrifkan kerana mempunyai 12 tiang kayu yang tidak dipotong dan strukturnya dipasang dalam tanah sehingga ke puncak siling rumah. 

Antara perbezaan rumah tradisional Melayu lain ialah laluan masuk ke Rumah Tiang 12 melalui ruang jemuran atau lantai basah yang tidak berbumbung, berbanding melalui anjung atau serambi yang ada pada kebanyakan rumah tradisional Melayu.

Rumah Tiang 12 biasanya dimiliki bangsawan, pengukir istana, hulu balang dahulu kala dan ia dibina beberapa unit mengikut perkembangan sesebuah keluarga, selain strata pembinaannya tinggi berdekatan dengan Sungai Kelantan. Struktur kayu cengalnya menggunakan pasak tanpa sebarang paku.




No comments:

Post a Comment