Wednesday, 6 July 2022

KAMPUNG PULAU KUNDOR, DAERAH BADANG

Kampung Pulau Kundor salah pulau terletak di delta Sungai Kelantan di bawah pentadbiran jajahan Kota Bharu. Bagaimanapun, Kampung Pulau Kundor dihubungi dengan jambatan dengan kampung-kampung berjiran.

Seperti mana kawasan pulau lain di delta Sungai Kelantan, Pulau Kundor terbentuk dan semakin ketara peningkatan paras tanah apabila setiap kali musim banjir yang membawa lumpur dari hulu sungai. Ia dipanggil ‘tanah sejuk’ yang sesuai ditanam dengan pelbagai jenis tumbuhan, namun majoriti kawasannya diliputi tanaman kelapa.

Untuk ke Pulau Kundor perlu melalui simpan tiga bersetentang dengan Medan Ikan Bakar (MBI) Kedai Buluh. Setelah perjalanan kira-kira satu kilometer, ada sebuah jambatan yang merentangi Sungai Pulau Panjang yang dikenali Jambatan Pulau Batang. Itulah sempadan memasuki Kampung Pulau Kundor.

Meneruskan perjalanan akan bertemu pula dengan sebuah jambatan yang menghubungkan kedua-dua bahagian Kampung Kundor. Kira-kira 500 meter di hadapan, ada sebuah lagi jambatan yang lebih dikenali di kalangan penduduk sebagai Jambatan Ketiga.

Jambatan Ketiga itu merentangi Sungai Che Latiff yang menjadi sempadan antara Kampung Pulau Kundor dengan Kampung Pantai Kundor. Kedua-dua kampung tersebut menggunakan perkataan ‘kundor’ tetapi satu Kampung Pulau Kundor dan satu lagi Kampung Pantai Kundor. Sebab itu banyak orang keliru dengan nama tersebut sehingga Kampung Pantai Kundor lebih dikenali dengan nama Kampung Pulau Kundor.

Lebih membuatkan orang ramai keliru ialah Sekolah Kebangsaan Pulau Kundor terletak di Pantai Kundor. Begitu juga dengan Masjid Mukim Pulau Kundor juga terletak di Pantai Kundor.  

No comments:

Post a Comment