Friday, 24 June 2022

SAHABAT.... KITA TELAH TUA

 
Sahabat .... kita telah tua. Banyak yang telah berubah. Dahulu kuat, kini lemah. Dahulu suara nyaring, sekarang mula tersekat-sekat. Masa muda telinga dapat dengar jelas, sekarang bunyi tembakan meriam pun sudah tidak dengar. Dahulu kuman di seberang laut nampak, sekarang gajah depan matapun samar-samar.   

Sahabat .... kita telah tua. Dahulu kita selalu tolong orang, kini orang yang lebih banyak tolong kita. Dahulu bayangan hidup, sekarang sudah masuk fasa ikhtiar hidup dan usaha untuk hidup. Jadi, kita kena banyak bersabar. Gunakan pengalaman dahulu untuk terus kekal stabil. Terus kekalkan usaha baik dengan sahabat. Jangan cipta musuh, sebaliknya musuh perlu ditukar menjadi sahabat.

Sahabat .... kita telah tua. Namun kehidupan tetap diteruskan macam biasa. Semangat kekal positif. Bakti diteruskan tanpa lelah. Pun begitu, jangan hendak buat macam usia 40an. Sedar keadaan diri yang telah serba kekurangan. Tidak salah kalau kita serahkan tugas kepada yang lebih muda. Kita yang tua terus menyumbang mengikut kemampuan masing-masing.

Sahabat.... kita telah tua. Sudah lama bersahabat. Telah kenal perangai masing-masing. Setiap di antara kita ada sejarah yang pernah dilalui. Ada baik buruknya. Yang baik kita ulang sebut. Sedangkan yang buruk kita sembunyikan. Agar kita hanya akan mengingati sabahat dalam perkara baik-baik sahaja.

No comments:

Post a Comment