Golongan muda tidak peduli politik. Golongan muda bakal pewaris kepimpinan negara. Namun kebelakangan ini, sikap generasi
muda menunjukkan mereka tidak peka terhadap sosialisasi politik negara.
Antara faktor golongan belia kurang sensitif terhadap aktiviti sosialisasi
politik negara disebabkan hidup selesa dan mewah. Generasi pascamerdeka tidak
mengalami perit hidup sebelum merdeka dan suasana ketika baru mencapai
kemerdekaan.
Jika
belia terus pasif serta tiada cakna dalam aktiviti sosialisasi politik, nescaya
kita akan ketandusan pemimpin berkaliber dalam proses pengurusan dan
pentadbiran negara pada masa hadapan. Proses melahirkan pemimpin unggul
mengambil masa lama melalui pengalaman dan asuhan berterusan.
Kajian
yang pernah diadakan mendapati sosialisasi politik dalam kalangan belia adalah
di peringkat sederhana baik sahaja. Sosialisasi politik bermaksud bagaimana
kita menerima norma, nilai dan pengalaman politik dalam kehidupan kita.
Sosialisasi
politik dipengaruhi oleh ibu bapa, ahli keluarga, rakan sebaya, malah media
dalam menerima atau menolak sesuatu parti politik. Namun keentengan generasi
muda terhadap perkara ini menyebabkan mereka menunjukkan sikap berkecuali
dengan persekitaran yang berlaku di sekeliling mereka.
Mereka
menganggap bahawa tugas kerajaan adalah untuk melakukan sesuatu yang dapat
meningkatkan kualiti kehidupan mereka, namun mereka tidak membantu dari segi
kestabilan politik negara dengan tidak mendaftar sebagai pemilih, atau telah
mendaftar, tetapi tidak membuang undi.
Selain
itu, persepsi generasi muda yang sempit terhadap politik turut mempengaruhi
sikap berkecuali mereka dalam sosialisasi politik negara. Mereka beranggapan
bahawa keterlibatan dalam politik adalah berusaha untuk menjadi pemimpin parti
politik di peringkat tempatan dan nasional.
Di
samping itu, kelekaan golongan muda dalam arus hiburan dan keseronokan
menyebabkan mereka mengabaikan hal-hal lain yang lebih besar dalam kehidupan
mereka, khususnya dalam berpolitik.
Langkah
drastik perlu diambil oleh kerajaan dan semua pihak perlu menggembleng tenaga
ke arah yang sama. Kerajaan mungkin boleh menyuntik kefahaman dalam kalangan
belia dengan mewujudkan satu subjek khas di sekolah atau di institut pengajian
tinggi.
Pendidikan tentang struktur dan pentadbiran kerajaan Malaysia penting supaya
golongan belia akan sedar dan memahami tanggungjawab mereka dalam kepentingan
politik negara. Pelbagai kursus untuk menimbulkan kesedaran berpolitik juga
wajar dilaksanakan oleh semua pihak bertanggungjawab.
Di
samping itu, pihak universiti juga perlu memainkan peranan untuk mencetuskan
kesedaran di kalangan mahasiswa serta menggalakkan mereka keluar mengundi
dengan mengisytihar cuti umum ketika pilihan raya berlangsung.
Golongan
muda tidak sepatutnya berfikiran negatif terhadap sosialisasi politik kerana
kepemimpinan masa hadapan tetap akan tergalas di bahu kita. Duka cita golongan
terpelajar tidak memahami sistem politik negara.
Sebab itu, mereka tidak kisah tentang apa yang berlaku dalam politik. Tetapi,
jika hak mereka tidak ditunai, tahu pula mereka menyalahkan pemimpin politik,
sedangkan mereka sendiri benci atau tidak ambil peduli tentang politik.
No comments:
Post a Comment