Tapir
(Tapirus malayanus) merupakan sejenis haiwan mamalia yang juga dikenali dengan
nama tenuk, senuk, cipan, kipan, badak tampung, badak murai, badak tenuk, badak
babi dan kuda air.
Tapir
di Malaysia dikenali tapir malaya kini tergolong daripada kumpulan spesies yang
kian pupus berikutan jumlahnya hanya antara 1,200 hingga 1,500 ekor di seluruh
Semenanjung ketika ini.
Spesies
paling besar dalam keluarga tapir itu memiliki purata berat badan antara 300
hingga mencecah 540 kilogram (kg) dan satu-satunya versi yang memiliki warna
berbelang apabila dewasa.
Kepupusan tapir berpunca akibat pelbagai faktor dalaman dan luaran antaranya makanan tidak mencukupi, gangguan dalam hutan dan pembangunan.
Kehilangan habitat menjadi penyumbang utama penurunan populasi haiwan berasal daripada keluarga ‘Tapiridae’ itu.
Projek pembangunan secara besar-besaran di kawasan hutan sama ada bagi tujuan pertanian, pembangunan atau pemburuan menyebabkan ‘pengusiran’ tapir dari habitat asalnya.
Ini berikutan tapir akan berasa terganggu apabila mula diancam dan menjadi punca haiwan itu keluar dari hutan mencari habitat baru selain turut menghadapi ancaman masyarakat terutama di kawasan pinggir bandar.
Keluasan hutan yang semakin sempit kerana pembangunan turut menyebabkan kepupusan mamalia unik itu.
Seekor tapir malaya memerlukan kawasan luas kerana ia merupakan haiwan yang gemar bersendirian dan mempertahankan kawasan daratan sebagai wilayah mereka.
Justeru, apabila pembangunan mula mengambil tempat di kebanyakan kawasan hutan, ia membawa kepada ‘penghijrahan’ haiwan ini ke kawasan berdekatan.
Selain diancam hidupan liar lain, tapir turut mati akibat dilanggar kenderaan dan tidak mendapat bekalan makanan yang mencukupi.
Prihatin dengan kepupusan mamalia itu, PERHILITAN telah menubuhkan Pusat Konservasi Tapir Rizab Hidupan Liar Sungai Dusun di Ulu Bernam, Selangor pada 2004.
Ia menjadi bukti kesungguhan kerajaan dalam memastikan populasi tapir stabil dan tidak diancam kepupusan.
Tapir tidak tergolong sebagai haiwan yang diburu secara haram namun sudah dikelaskan sebagai spesies yang dilindungi sepenuhnya di dalam Jadual Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
No comments:
Post a Comment