Friday, 4 June 2021

NANAS MADU KACA AC 11 ISI BERWARNA KUNING JERNIH

Nanas madu kaca AC11 merupakan satu varieti tanaman nanas yang sangat popular ditanam terutama di Kelantan sebagai tanaman intergrasi dengan tanaman getah.

Nanas ini pada asalnya dinamakan sebagai nanas Sarawak tetapi telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian pada 2018 sebagai nanas madu kaca AC11.

Namun, nanas madu kaca mempunyai ciri-ciri berlainan dengan nanas Sarawak sedia ada yang dahulu popular ditanam di Johor.

Proses pendaftaran ini melalui proses SOP sedia ada di dalam National Plant Variety Listing bagi membolehkan ia berada dalam 10 varieti nanas sedia ada didaftarkan iaitu daripada AC1 sehingga AC10.

Nanas madu kaca telah dikomersilkan di negeri-negeri pantai Timur Semenanjung Malaysia seperti di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Ia adalah nanas dari kumpulan Cayene iaitu ia agak kurang sensitif terhadap aruhan bahan kimia untuk pembungaan.

Nanas ini mudah ditanam dan diuruskan amalan agronominya berbanding dengan beberapa varieti lain seperti nanas MD2. Ia mempunyai pokok yang besar dan mampu mengeluarkan benih yang banyak bagi setiap pokok yang matang dan berbuah.

Saiz buahnya yang besar menjadikan nanas ini mampu menarik minat pembeli selain daripada isinya yang berwarna kuning jernih dan keputihan seakan kaca semasa dibuang kulitnya.

Buah nanas madu kaca biasanya akan matang dalam masa 12 - 16 bulan sebelum ia sesuai dipetik. Amalan pembajaan yang baik dengan menggunakan banyak baja urea dan baja jenis Yara Milla membolehkan pokok nanas mengeluarkan buah tanpa melalui proses aruhan bunga.

Bagaimana pun kebun perlu diterangkan daripada rumpai dan semak samun untuk mendapatkan kualiti buah yang baik. Buah yang matang apabila dibelah memberikan kualiti buah yang manis dan sesuai untuk dimakan segar.

Ia juga sesuai diproses untuk dijadikan jus dan pelbagai jenis masakan. Buah yang masak lazimnya masih mempunyai kulit berwarna hijau tetapi pekebun akan tahu sama ada buah nanas tersebut telah matang dan sesuai dipetik dengan menjentiknya.

Buah yang matang lazimnya menghasilkan bunyi yang padat menandakan ia manis.

No comments:

Post a Comment