Sunday, 31 January 2021

SYARIAT MENEGAH MELAKUKAN PERBUATAN BURUK

Negara mengharapkan warganegara yang baik. Anak memerlukan ibu bapa dan penjaga yang prihatin. Kepemimpinan memerlukan ahli politik yang berakhlak mulia. Majikan memerlukan pekerja yang berintegriti.

Semua itu dapat dicapai jika setiap individu mengamalkan ajaran Islam. Islam adalah cara hidup berpaksikan kepada tanggungjawab melakukan perkara kebaikan dan mencegah daripada melakukan keburukan.

Individu Muslim tidak perlu melakukan perkara yang bercanggah dengan perintah agama, walaupun sebenarnya keinginan nafsu amat disukainya.

Seorang pegawai awam, mahupun swasta jika ditawarkan rasuah, tidak akan menerimanya. Bahkan dia akan melaporkan kepada pihak bertanggungjawab agar pihak menawarkan rasuah itu dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya.

Jika ingin diikutkan perasaan dan nafsu, sudah tentu ia diterima tanpa mengira dosa dan pahala kerana inilah cara mudah mendapat wang daripada usaha orang lain.

Masalah jenayah berleluasa hari ini kerana keinginan untuk mengecapi kekayaan dengan cara mudah seperti melalui penghasilan dan pengedaran dadah.

Penjenayah menjadikan anak muda terjebak dalam pergaulan liar dan membawa kepada penyalahgunaan dadah yang menjadi pelanggan memberikan sumber pendapatan membolehkan pengedar dadah hidup mewah hasil kerja jenayah.

Manusia perlu menguruskan nikmat akal dan nafsu dengan cara yang betul ke arah kebaikan. Akal dan nafsu sentiasa akan berlawanan antara satu sama lain.

Akal semata-mata tidak menjamin sebarang kebaikan, jika tidak dipandu oleh syariat Allah SWT.

Akal berkeupayaan penuh dalam menguasai nafsu melalui pemikiran serta penilaian yang baik, manakala jika sebaliknya berlaku, akal menjadi pengikut kepada nafsu yang menginginkan kerosakan.

Sebagai makhluk istimewa, manusia diberikan kebebasan dan ikhtiar memilih melakukan sesuatu yang terbaik atau sebaliknya.

Menjadi tanggungjawab untuk membuat pilihan yang baik dan bertindak dengan tindakan yang sewajarnya serta perlu bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat.

Allah SWT berfirman bermaksud: "Sesungguhnya tidak ada balasan bagi seseorang melainkan dari apa yang diusahakannya. (Surah al-Najm, ayat 39).

Setiap pilihan yang dibuat tidak hanya mempengaruhi kehidupan di dunia, malah juga kehidupannya di akhirat. Mereka yang melakukan amalan baik atau buruk ketika hidup di dunia akan dibalas tanpa ada pengecualian di akhirat nanti. Sesiapa yang dapat menghindarkan diri daripada balasan api neraka, merekalah manusia yang berjaya.

Tuntutan akal dan nafsu diimbangi oleh syariat. Dunia menjadi tempat yang paling selamat, sekiranya setiap orang melakukan kebaikan (amal makruf) dan menjauhi keburukan.

No comments:

Post a Comment