Semua
janji adalah perkara penting dalam kehidupan kita. Menepati janji adalah sendi
kehidupan Muslim yang menjadi tanda kepada keimanan. Oleh itu jangan mudah
mengucapkan janji jika difikirkan tidak mampu ditepati.
Setiap hari kita tidak terlepas daripada mengucapkan perkataan bermaksud janji. Ucapan atau ungkapan perkataan seperti saya akan, boleh, jangan bimbang, lain kali, lepas ini dan akan diuruskan juga boleh diertikan telah membuat janji.
Jadi, jangan mudah mengucapkan perkataan yang bermaksud membawa erti berjanji. Walaupun tidak disebut sebagai ‘saya berjanji’, ia tetap difahami dan membawa kepada erti berjanji.
Allah memerintahkan agar setiap orang beriman menyempurnakan janji yang dibuat. Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Sempurnakan janji-janjimu.” (Surah al-Maidah, ayat 1).
Menepati janji adalah sifat terpuji yang harus dilakukan setiap Muslim sepertimana diamalkan di kalangan para rasul. Kekuatan peribadi para rasul dalam menepati janji disebut dalam al-Quran sebagai bukti kenabian seseorang nabi.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya dia (Nabi Ismail) adalah benar menepati janji, dan adalah dia seorang rasul lagi berpangkat nabi.” (Surah Maryam, ayat 54).
Setiap janji melakukan kebaikan wajib ditepati dengan sedaya usaha. Ganjaran pahala bukan sahaja berkaitan menunai janji, bahkan juga perbuatan baik itu akan mendapat ganjaran sepatutnya.
Bagaimanapun, janji melakukan perbuatan dosa tidak wajib ditepati, bahkan haram ditepati. Janji melakukan dosa tidak termasuk dalam maksud janji yang disuruh dilaksanakan. Bahkan, janji melakukan keburukan adalah ditegah sama sekali.
Sesungguhnya, apabila membuat janji, bermakna telah terbentuk satu tanggungjawab melaksanakannya. Tanggungjawab adalah amanah. Sesiapa tidak melaksanakan amanah dipanggil pecah amanah. Individu yang mementingkan nama baik sudah tentu tidak mahu dirinya dikenali sebagai tidak amanah.
Orang yang tidak amanah tidak akan dipercayai untuk diserahkan tugas yang penting. Hal ini sudah tentu merugikan diri sendiri. Sekali identiti tidak amanah terlekat pada diri, sukarlah untuk dibuang daripada ingatan orang lain.
Sikap tidak amanah, tidak menepati janji dan bercakap bohong mempunyai kaitan rapat. Tidak keterlaluan jika dikatakan orang tidak amanah layak dipanggil pencuri, seperti kata pepatah, senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi pencuri.
Tidak ada gunanya menerima janji dengan individu telah dikenali tidak beramanah. Kemungkinan janji itu tidak ditepati amat besar. Kita hanya perlu menyerahkan amanah kepada individu yang diketahui keupayaan melaksanakan amanah itu.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).” (Surah an-Nisa, ayat 58).
Dalam ayat lain pula dikaitkan antara amanah dengan janji. Firman-Nya bermaksud: Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.” (Surah al-Mukminun, ayat 8).
No comments:
Post a Comment