Wednesday, 27 November 2019

MENGAPA BANYAK UBI TIMBUL MUSIM HUJAN

Pada musim hujan banyak jenis ubi dijual di tepi jalan, selain di pasar. Antara jenis ubi dijual pada musim tengkujuh ialah ubi kayu, ubi keledek, ubi itik, ubi badak dan ubi takrok.

Mengapa jenis ubi tersebut 'timbul' pada musim hujan? Sebenarnya ia berkaitan dengan tempoh matang dan keadaan yang memaksa ubi-ubi tersebut dicabut atau dituai.

Tempoh matang ubi-ubi berkenaan adalah antara 6 hingga 10 bulan. Ia biasanya ditanam selepas musim banjir. Kalau di Kelantan biasanya antara bulan Mac hingga April.

Maknanya, jenis ubi berkenaan sudah matang sekitar bulan November atau Disember. Jadi, sudah boleh dicabut atau dituai pada bulan-bulan berkenaan.

Namun, satu lagi faktor mengapa ubi kayu, ubi keledek, ubi itik, ubi badak dan ubi takrok perlu dituai pada bulan-bulan berkenaan adalah untuk mengelak daripada menjadi rosak.

Sebenarnya jenis ubi berkenaan 'manja' dengan air. Jika kawasan tanaman ubi berkenaan digenangi air dua atau tiga hari secara berterusan, isinya boleh menjadi rosak atau busuk.

Keadaan ini dalam dialek Kelantan dipanggil 'carak'.

Untuk mengelak ubi rosak dan menanggung kerugian, maka ubi berkenaan terpaksa dicabut walaupun setengahnya belum matang sepenuhnya. Ubinya masih kecil dan muda.

No comments:

Post a Comment