Al-Quran adalah anugerah terbesar Allah kepada Nabi Muhammad dan
umat baginda. Ia adalah mukjizat teragung yang tiada tandingannya.
Mukjizat nabi-nabi terdahulu hanya wujud ketika nabi berkenaan
masih hidup, sedangkan al-Quran digunakan sepanjang zaman sehingga ke hari
kiamat.
Keaslian isi kandungannya sedikitpun tidak pernah berubah,
walaupun pelbagai pihak yang ingin merosakkan Islam cuba melakukannya.
Percubaan untuk merubahnya dapat dikesan dan diperbetulkan segera. Sebab
itu tidak ada perbezaan perkara pokok dalam Islam.
Bentuk isi kandungan al-Quran meliputi perintah-perintah Allah
kepada manusia, hukum-hukum, cerita-cerita sejarah untuk dijadikan pedomen
hidup, asas-asas ilmu pengetahuan dan segala macam panduan berguna untuk
manusia.
Ayat-ayat al-Quran diwahyukan kepada Rasulullah melalui
perantaraan Jibril. Sebanyak 6,666 ayat diturunkan dalam tempoh 22 tahun 2
bulan 22 hari, iaitu sembilan tahun di Makkah dan 13 tahun di Madinah.
Setelah dikumpulkan, ia dibahagikan kepada 30 juz dan 114 surah.
Al-Quran diturunkan pada malam Lailatulqadar. Firman-Nya
dalam surah al-Qadr, ayat pertama bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkan
(al-Quran) pada malam kemuliaan.”
Dikatakan al-Quran diturunkan pada malam Lialatulqadar ialah
merujuk kepada penurunan dari Lohmahfuz ke Bait al-Izaah di langit dunia secara
keseluruhan kandungan al-Quran.
Dari al-Bait al-Izaah, ayat al-Quran diturunkan secara
beransur-ansur mengikut satu-satu peristiwa atau perkara yang berkaitan.
Cara ini memudahkan orang Islam menerimanya, menghafalnya dan mengamalkannya.
Firman Allah bermaksud: “Dan al-Quran ini Kami turunkan secara
berpisah-pisah supaya dapat engkau bacakan kepada orang-orang dengan tenang,
dan Kami turunkan secara beransur-ansur.” – (Surah al-Isra, ayat 106).
Dalam firman-Nya lagi bermaksud: “Berkata orang-orang
kafir: “Mengapa al-Quran itu tidak diturunkan kepadanya dengan sekali gus
sahaja? Demikianlah, Kami bertujuan supaya meneguhkan hati engkau kerana
itu dan Kami turunkan secara beransur-ansur.” – (Surah al-Furqan, ayat 32).
Rasulullah menerima wahyu pertama disampaikan oleh Jibril di Gua
Hira sebagai permulaan turunnya al-Quran. Bagaimanapun, selepas ayat pertama
itu, Rasulullah tidak menerima sebarang wahyu selama kira-kira dua tahun.
Wahyu kedua turun merupakan ayat pertama hingga enam surah
al-Muddatstsir. Ayat itu menjelaskan tentang tugas kerasulan
Baginda.
Setiap wahyu diterima oleh Baginda dihafal dan kemudian
dibacakan pula kepada para sahabat. Sahabat menghafalnya dan setengahnya
pula dituliskan di atas ‘kertas’ berupa tulang-tulang binatang, kulit-kulit
binatang dan pelepah-pelepah tamar.
Ayat-ayat al-Quran diturunkan di Makkah sebelum Hijrah
Rasulullah dikenali ayat Makiyah. Manakala ayat-ayat diturunkan selepas
Hijrah Rasulullah ke Madinah dinamakan Madaniyah, biarpun ada di antara ayat
tersebut diturunkan di Makkah selepas pembukaan semula Makkah.
Ayat Makiyah pada umumnya berkaitan menimbulkan rasa keimanan
dan tauhid, mengakui kekuasaan Allah da mementang pemujaan berhala.
Surah-surah Makiyah pendek-pendek dan ayat-ayatnya ringkas.
Manakala ayat-ayat Madaniyah pula lebih menumpukan kepada soal
persaudaraan, pemerintahan, kehidupan, perang dan damai, hukum-hukum dan
asas-asas ilmu. Ayat-ayat dan surahnya lebih panjang.
No comments:
Post a Comment