Friday 29 December 2023

KUKUHKAN PERPADUAN, PERTAHANKAN ISLAM

Agenda perpaduan dan kerjasama sesama Islam perlu dijadi perkara pokok dalam pentas pentadbiran negara. Perkara ini dapat dilakukan melalui kerjasama parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang inginkan kedudukan Islam lebih dihormati dan berkuasa di negara kita. 
 
Perpaduan merupakan pokok asas dalam pembinaan sebuah ummah yang kuat dan mampu melaksanakan tuntutan agama dalam soal kenegaraan.
 
Banyak ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang menyentuh mengenai perpaduan dan persaudaraan.  Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Hendaklah kalian bersatu, kerana sesungguhnya tangan Allah berada bersama al-jamaah (kesatuan)." (Hadis riwayat Tirmizi dan Nasai)
 
Kedudukan Islam di Malaysia sejak akhir-akhir ini tercabar apabila beberapa pihak menyentuh tentang urusan umat Islam, LGBT, liberalisme dan pluralisme agama perlu ditangani dengan bijaksana.
 
Perkara ini hanya dapat dilakukan melalui perpaduan sesama Islam. Pihak lain akan mengambil kesempatan jika kedudukan Islam dalam keadaan lemah dan bergaduh sesama sendiri. Maka, itu seruan kepada perpaduan seharusnya tidak dipandang sinis, khususnya melibatkan parti-parti politik.  
 
Ini bukan soal siapa kuat dan siapa lemah sehingga perlukan kepada kerjasama politik, tetapi perkara lebih utama ialah untuk menjamin kedudukan Islam di Malaysia.
 
Berlainan ideologi politik tidak sepatutnya menyebabkan perbezaan dalam soal berkaitan kepentingan Islam. Islam agama yang mementingkan perpaduan serta persaudaraan. Konsep inilah yang menjadi tonggak kejayaan Rasulullah SAW menyebarkan agama Islam dan diikuti para sahabat.
 
Sejarah penyatuan dan persaudaraan kaum Aus dan Khazraj serta Muhajirin dan Ansar menjadi contoh terbaik keberkesanan ikatan persaudaraan yang dianjurkan oleh Islam. 
 
Islam tidak mungkin dapat berkembang di Madinah dan tersebar ke seluruh Semenanjung Arab, Afrika, Rom hingga ke Parsi sekiranya umat Islam sendiri tidak bersatu. Bagaimana Islam hendak menunjukkan nilai-nilai baik jika sesama Islam sendiri saling menjatuhkan antara satu sama lain yang menyebabkan umat Islam lemah dan tidak mampu untuk melaksanakan tugas dakwah.
 
Islam adalah penyatu kepada seluruh penganutnya yang mempunyai matlamat yang satu, yakni melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang. Sesungguhnya, apa yang disuruh dan dilarang itu adalah sama untuk seluruh umat Islam.
 
Orang Islam yang menyedari hubungan persaudaraan sesama Islam sepertimana yang dijelaskan oleh Allah SWT tidak akan mencetuskan perbalahan. Firman Allah SWT dalam dalam ayat kesepuluh surah Al-Hujurat yang bermaksud: "Orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertelingkah itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.''
 
Maka sesuatu yang janggal dan tidak mencerminkan kehendak Islam apabila orang muslim menolak tangan persaudaraan yang dihulurkan oleh muslim yang lain. Perbuatan itu bukan saja dianggap angkuh dan biadap, tetapi juga satu penghinaan dan penolakan kepada suruhan Allah SWT dan Rasulullah SAW.
 
Amat menyedihkan ada di kalangan pemimpin politik bersikap angkuh disebabkan sedikit kekuatan yang diperoleh, menolak cadangan perpaduan. Sedangkan hakikatnya, kuasa yang diperoleh itu tidakpun melebihi pihak lain. Kekuatan dan kemenangan yang dianggap sebagai hebat itu sekadar menyedapkan hati pemimpin dan ahli parti semata-mata. 
 
Fikirkan, adakah umat Islam di negara kita hanya akan saling menghulurkan tangan untuk bersatu ketika maruah Islam telah dirobek dan tersungkur di bumi sendiri. Sedarlah, ketika itu segala-galanya telah terlambat. Kuasa yang terlepas tidak mungkin dapat diambil kembali hanya dalam tempoh masa yang singkat. Perhatikan sejarah kejatuhan Kesultanan Melayu Melayu yang hanya merdeka setelah 446 tahun terjajah. 
 
Hari ini kita mendapat kedudukan yang baik adalah hasil perjuangan dan tindakan bijak yang dilakukan oleh pejuang kemerdekaan dan generasi awal pascamerdeka. Jangan kita persia-siakan.  Balas dan hargai jasa mereka itu dengan cara kita tinggalkan negara yang aman damai ini kepada anak cucu dan generasi muda akan datang.
 
Apa pun kata-kata hinaan dan herdikan pihak yang menolak perpaduan sesama Islam, ia tidak seharusnya melunturkan semangat mereka yang berusaha untuk menegakkan Islam di Malaysia. Seluruh umat Islam perlu menyokong cita-cita murni ini dan menolak pemimpin dan parti yang angkuh menolak perpaduan sesama Islam.

Gambar sekadar hiasan 

No comments:

Post a Comment