Sementara
masih hidup, guna dan pastikan harta kekayaan dimanfaatkan sepenuhnya untuk
dunia dan akhirat. Jangan kita sekali-kali membiarkan kehidupan tidak diurus
dan dirancang dengan baik kerana ia akan menjadi penyebab kepada permasalahan
pada masa depan. Kegagalan membuat perancangan berupaya mendedah, memungkinkan
kerugian dan kebinasaan hidup yang nyata.
Itu
sebabnya mengapa orang tua-tua sering berkata, “Ikut hati mati, ikut rasa
binasa”. Jika kita boleh berasakan kehebatan kehidupan dunia dengan harta
kekayaan yang ada, maka bayangkan bagaimana pula dengan kehebatan kehidupan di
akhirat yang tiada tandingannya.
Oleh
itu, tidak kira pada zaman mana kita hidup dan apa juga arus perubahan melanda,
satu perkara penting dituntut bagi setiap orang Islam iaitu mencari rezeki
dengan cara halal serta keperluan mengetahui kepentingan mengimbangi kehidupan
di dunia dan akhirat berlandaskan agama.
Janganlah
kita hanya mahu berkiblatkan harta kekayaan hingga terlupa tuntutan dan
keperluan agama. Tidak juga kita dituntut mengabadikan diri untuk kehidupan
akhirat semata-mata sehingga terlupa tanggungjawab di dunia ini.
Firman
Allah SWT: “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing
menujunya, oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana
saja kamu berada, maka Allah tetap akan membawa kamu sekalian (berhimpun pada
hari kiamat untuk menerima balasan), sesungguhnya Allah amat berkuasa atas
tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Baqarah, ayat 148)
Ini
adalah lumrah dunia dulu dan sekarang, yang mana banyak iktibar boleh dilihat
serta dipelajari daripada kelemahan dan kelalaian manusia mengakibatkan
kerugian yang nyata baik di dunia mahu pun akhirat.
Apa
yang pasti, syaitan akan sentiasa berusaha tanpa jemu untuk menggagalkan segala
usaha kebaikan ingin dilakukan antaranya adalah berlaku amanah. Jadi ingatkan
seluruh ahli keluarga dan waris kelicikan syaitan mengatur strategi memastikan
Islam terjebak bersamanya.
Ramai
sedia maklum segala harta kekayaan serta kemewahan akan ditinggalkan apabila
berlaku kematian, tetapi ramai juga yang masih tidak sedar harta tidak akan
membawa apa-apa kebaikan jika tiada inisiatif dilakukan untuk kerja amal dan
sedekah jariah.
Firman
Allah SWT: “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan)
agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya
kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala
usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang
berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)
Gambar: Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan menyerahkan sumbangan
kepada yang memerlukan di Pulau Seratus
No comments:
Post a Comment