Thursday 27 May 2021

KERANA PULUT SANTAN BINASA

Ada pepatah atau peribahasa yang berbunyi; kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Pepatah itu bermaksud; percakapan yang kasar atau tidak berhemah kerap kali mencelakakan diri sendiri.

Pepatah ini mengajar kita agar berhati-hati ketika bercakap atau dalam dunia tanpa sempadan hari ini juga boleh diertikan dengan penulisan di media sosial atau media maya.

Banyak orang mendapat binasa disebabkan kata-katanya. Ingatlah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Durian jika dipadankan dengan pulut pasti menjadi juadah yang enak. Akan tetapi jika pulut itu terlebih santan, keenakan pulut durian tiada lagi kerana pulut menjadi terlalu lembik. Begitu juga halnya terjadi jika kita bercakap ikut sedap mulut.

Peribahasa itu memberi peringatan kepada kita bahawa ungkapan perkataan yang tidak baik mengakibatkan bencana kepada diri sendiri mahupun orang lain.

Dalam zaman moden ini, mesej mudah tular dalam jangka waktu yang singkat. Apa sahaja yang tercetus daripada mulut seseorang atau jari jemari di papan kekunci dengan mudah diketahui umum. 

Jika lisan atau tulisan itu tidak disenangi oleh individu lain, ia sukar ditarik kembali, mungkin melukakan hati dan menyinggung perasaan orang lain.

Hal ini akan lebih memburuk jika mesej disalah tafsir. Kebinasaan juga semakin ketara jika individu terlalu teruja atau terlalu beremosi sehingga menyebabkan tujuan asal berkomunikasi tersasar. 

Akibat kesilapan kecil dalam berkomunikasi, pelbagai konflik antara perorangan sama ada dalam kehidupan peribadi atau kerjaya mungkin akan timbul.

Umum mengakui bahawa komunikasi adalah aktiviti penting dalam kehidupan manusia dan kebanyakan masa dihabiskan dengan berkomunikasi. 

Kita berhubung antara satu sama lain untuk menyampaikan atau menerima maklumat, luahan perasaan, mempengaruhi orang lain dan seumpamanya.

Isu komunikasi dalam organisasi tidak boleh diremehkan dan ia antara jalan penyelesaian terbaik kepada banyak permasalahan yang berlaku dalam organisasi. Kejayaan sesebuah komunikasi banyak bergantung kepada hati dan jiwa pihak yang berkomunikasi.

Jadi, sesiapa pun perlu menguasai kemahiran berkomunikasi agar tidak menjadi, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.

No comments:

Post a Comment