Wednesday 11 November 2020

JANGAN BIMBANG TENTANG HARI ESOK

Kita tidak akan dapat menjejak kaki pada air sungai yang sama dua kali, justeru air sungai sentiasa mengalir. Begitu jugalah kehidupan akan terus berubah.

Kita kena fikirkan keperluan hari ini. Itu adalah hakikat perlu dilalui. Biarlah kais pagi makan pagi. Untuk makan petang kais pula. Itupun jika tanah tidak digenangi air.

Kalau simpan apa yang dikais pagi ini untuk makan pada waktu petang nanti, takut nanti pada tengah hari nanti sudah kena sembelih. Sudahlah terlepas hendak makan, diri pula terkorban.

Sekali lagi ditegaskan bahawa hidup adalah perubahan yang tidak henti-henti. Jangan cuba mengawalnya. Jangan cuba mengambil ‘tempat’ Tuhan untuk mengawal semua perubahan kerana yang mampu mengawalnya hanyalah Allah yang tidak berubah-ubah.

Inilah hikmah mengapa Qada dan Qadar Allah dirahsiakan daripada pengetahuan manusia. Agar dengan itu manusia boleh hidup dengan aman tanpa diganggu walau sedikitpun oleh pengetahuan tentang masa hadapan.

Dapatkah seorang yang sihat makan dengan enak jika mengetahui pada hari esoknya dia akan mati? Atau mampukah seorang ayah membesarkan anaknya dengan sabar jika diketahuinya bahawa anaknya bakal menderhakainya?

Manusia boleh hidup dengan aman tanpa mengetahui tentang masa depannya. Madah pujangga, “masa lalu adalah kelmarin yang telah mati. Masa depan adalah esok yang belum lahir, tetapi selamatkanlah hari ini yang masih hidup.”

Seorang manusia walau bagaimana kuat sekalipun, tidak akan mampu menanggung derita masa lalu dicampur beban masa depan, lalu dipikul bersama masalah pada hari ini.

Tiga beban dalam satu masa boleh menyebabkan seorang genius dihantar ke hospital sakit otak. Tiga beban dalam satu masa boleh menyebabkan seorang atlit dihantar ke wad pesakit jantung. 

Hidup ini mesti ditangani dengan mudah. Namun ini bukan pula alasan untuk mempermudah-mudahkan hidup.

Mungkin anda akan bertanya, kalau begitu salahkah kita merancang untuk masa depan? Tidak. Pendek angan-angan bukan bererti tidak bersedia untuk hari esok. Fikirkan hari esok, tetapi jangan khuatir.

Banyak bezanya antara fikir dan khuatir. Sesiapa yang khuatir tentang hari esok, akan mensia-siakan peluang yang ada pada hari ini. Sebaliknya sesiapa yang berfikir tentang hari esok, akan memanfaatkan peluang pada hari ini.

No comments:

Post a Comment